TN Alagesh


Rompin: Pimpinan DAP memberi jaminan untuk menghormati empat perkara, termasuk kedudukan Islam dan institusi Raja, dalam satu pertemuan antara Umno dan parti itu sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam pertemuan membabitkan pemimpin kedua-dua parti itu, DAP turut menyatakan pendirian untuk mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu.

"Jangan takut. Tok Mat (Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan) dan Dr Zambry (Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) bersama saya, antara tujuh individu yang bertemu pemimpin DAP sebelum Kerajaan Perpaduan dibentuk.

"Soalan pertama saya (pada DAP) sebagai Pengerusi BN dan Presiden Umno adalah apa pendirian mengenai Islam jika kita setuju bekerjasama dengan DAP? Bagaimana dengan kedudukan Bahasa Melayu? Apa pandangan DAP terhadap institusi Raja? Ini semua soalan yang saya tanya pada mereka.

"Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke) jawab bahawa pimpinan baharu DAP akan patuh dan setuju dengan segala yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk empat perkara ini. Apa lagi soalan nak dibangkitkan?," katanya ketika berucap pada sesi ramah mesra bersama penduduk di Dewan Kuala Rompin di sini, hari ini.

Ahmad Zahid turut memberi jaminan kepada ahli dan akar umbi, bahagian dan cawangan Umno, bahawa tiada yang perlu dibimbangkan dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan kerana beliau tidak akan menjual Umno dan BN.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 6:20 PM