ROZI MAMAT
ROZI MAMAT
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan tidak mampu untuk memuaskan hati semua, sebaliknya semua pimpinan politik harus bermuhasabah diri.

Setiausaha Umno Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentunya sudah mengambil kira banyak perkara termasuk soal parti dan hierarki serta kemahiran, wilayah, kaum dan agama, sebelum melantik ahli Parlimen membarisi anggota Kabinetnya.

Katanya, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun tentunya berhadapan laluan sukar untuk membentuk barisan Kabinet berikutan gabungan Kerajaan Perpaduan dianggotai banyak parti.

"Pembentukan kabinet bukanlah sesuatu yang mudah, terutama untuk memuaskan hati semua pihak," katanya melalui catatan pada Facebook (FB) hari ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah di atas pelantikan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

"Seluruh pimpinan parti di Umno bahagian Hulu Terengganu turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan, Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Azalina Othman Said serta bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di atas pelantikan sebagai Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan.

"Kita mendoakan agar dipermudahkan segala urusan pimpinan negara dan semoga pembentukan barisan kabinet baharu akan memulihkan ekonomi dan kestabilan politik negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 3:30 PM