Anthony Loke ketika sidang media mengenai harga tiket tambang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah di kementeriannya hari ini. FOTO BERNAMA
Anthony Loke ketika sidang media mengenai harga tiket tambang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah di kementeriannya hari ini. FOTO BERNAMA
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Hubungan DAP dan UMNO tidak boleh diibaratkan sebagai 'kahwin paksa' sebaliknya ia kerjasama politik bagi mewujudkan sebuah Kerajaan Perpaduan yang stabil.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menempelak dan mengingatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dibuat atas nasihat Yang Di-pertuan Agong.

"Janganlah sebagai bekas Perdana Menteri, adakah beliau mahu lihat perpecahan dalam Kerajaan Perpaduan.

"Dalam apa juga kerjasama termasuk dalam Kerajaan Perpaduan, kami seboleh-bolehnya cuba untuk kukuhkan hubungan itu, kita bekerja keras untuk memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan," katanya tadi.

Media sebelum ini melaporkan, Ismail Sabri mendakwa 'kahwin paksa' antara UMNO dan DAP tidak akan berjaya sama ada di peringkat kepimpinan tertinggi atau di peringkat akar umbi.

Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, beliau sudah mula melihat keretakan 'perkahwinan paksa' itu selepas wujud serangan secara terbuka antara pemimpin-pemimpin parti kerajaan ketika ini.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, kerjasama antara bekas parti politik yang bertelagah tidak akan kekal lama dan akhirnya pasti ada keretakan dan akan berlaku perpecahan.

Selain itu, Loke berkata, semua gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah parti-parti berlainan tetapi masing-masing meraikan perbezaan dan ia dilaksanakan dengan matang.

Ditanya sama ada wujud arahan untuk menghalang mana-mana pemimpin DAP daripada bersuara, Loke berkata, mereka berhak untuk menyampaikan pandangan masing-masing.

"Saya tidak melihat wujudnya 'perang' antara DAP dan UMNO, ia hanya meluahkan pandangan.

"Saya tidak boleh letak arahan mana-mana pemimpin untuk tidak bersuara. Saya dapati pandangan dikemukakan itu adalah pendapat peribadi," katanya.

Sebelum ini bekas Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed juga secara terbuka mengkritik DAP malah, kritikan itu juga mendapat reaksi daripada pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Pada 15 April lalu, Nur Jazlan mendakwa hubungan UMNO dan DAP dalam gabungan kerajaan perpaduan menyukarkan parti itu untuk mendapatkan semula sokongan orang Melayu.

Beberapa pemimpin UMNO dan DAP yang berbalas kenyataan berhubung keputusan UMNO memohon ihsan pengampunan diraja bagi membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang kini sedang menjalani hukuman penjara.

Kit Siang memberi amaran bahawa Kerajaan Perpaduan boleh runtuh sekiranya Najib diberikan pengampunan diraja, dengan beliau melihat masalah dihadapi kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih kepada bersifat dalaman berbanding luaran.

Membalas kenyataan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP takut terhadap usaha dibuat UMNO untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi Najib.

Dakwanya, kenyataan Kit Siang itu menunjukkan mereka sebenarnya takut sekiranya UMNO bertambah kuat melalui gabungan Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 3:02 PM