Ahmad Zahid hadir pada Persidangan Parti DAP 2023 di Hotel Putrajaya Marriott, Putrajaya. FOTO AIZUDDIN SAAD
Ahmad Zahid hadir pada Persidangan Parti DAP 2023 di Hotel Putrajaya Marriott, Putrajaya. FOTO AIZUDDIN SAAD
Mohd Iskandar Ibrahim dan Mohd Nasaruddin Parzi

Putrajaya: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap hubungan yang baharu terjalin antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menerusi Kerajaan Perpaduan dapat diperkukuhkan hingga ke peringkat akar umbi.

Pengerusi BN itu berkata, usaha berkenaan penting sebagai pemangkin semangat perpaduan sekali gus berupaya memimpin negara dengan memberikan khidmat terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia.

"Mendengar ucapan Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke) sebentar tadi ada menyebut Kerajaan Perpaduan adalah sebuah kerajaan yang inklusif dan mewakili seluruh rakyat Malaysia.

"Malah, demi menjaga kesejahteraan dan kemakmuran rakyat, perbezaan politik dirungkaikan dan perpaduan dijadikan asas untuk kita bersama membina semula negara, khususnya dalam membangunkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat," katanya menerusi perkongsian di media sosialnya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri bersama Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menghadiri Persidangan DAP 2023 di sini, hari ini.

Kehadiran Ahmad Zahid bersama rombongannya itu secara tidak langsung memecahkan tradisi apabila menjadi Presiden Umno pertama menjejak kaki ke perhimpunan parti berkenaan selepas lebih tujuh dekad menjadi seteru politik.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau melihat kesungguhan DAP untuk mengekalkan perpaduan negara menerusi ucapan yang disampaikan Loke serta Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

"Ia juga diterjemahkan oleh para perwakilan yang saya temui selepas saya menjejakkan kaki ke dewan perhimpunan ini di Putrajaya yang mahukan kestabilan politik untuk memangkin lebih kejayaan buat Malaysia.

"BN akan terus bersama mempertahankan Kerajaan Perpaduan ini yang benar-benar mencerminkan wajah Malaysia," katanya.

Sejak Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946, manakala DAP pada 1966, kedua-dua parti itu tidak pernah menjalinkan kerjasama politik.

Bagaimanapun, pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan tembok permusuhan itu runtuh selepas Umno menyertai 18 parti politik lain bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Langkah itu diambil selepas tiada mana-mana gabungan parti politik boleh menubuhkan kerajaan secara bersendirian kerana gagal memperoleh majoriti mudah dalam Dewan Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 3:40 PM