PASUKAN bomba menjalankan operasi SAR di sekitar kawasan mangsa dipercayai dibaham buaya. FOTO Ihsan Bomba.
PASUKAN bomba menjalankan operasi SAR di sekitar kawasan mangsa dipercayai dibaham buaya. FOTO Ihsan Bomba.
Juwan Riduan


Lahad Datu: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bayi lelaki dipercayai dibaham buaya berhampiran Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM), di sini, disambung esok.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, bayi berusia setahun itu hilang dilarikan reptilia berkenaan selepas diserang buaya di lokasi kejadian.

Sementara, bapanya parah dengan kecederaan di beberapa bahagian badan dan kepala akibat digigit buaya ketika cuba menyelamatkan anaknya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi SAR dijalankan oleh sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu sebaik menerima panggilan kecemasan pada 10.25 pagi.

"Operasi SAR pada hari ini dijalankan menggunakan kaedah 'surface rescue' sepanjang dua kilometer dari Pangkalan Marin sehingga ke POIC dengan lima kali ulang alik.

"Namun setakat ini mangsa yang dipercayai dibaham buaya belum ditemui," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, operasi SAR ditangguh pada jam 5 petang, dan akan disambung pagi esok.

Operasi SAR turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu.

Sementara itu, bapa bayi itu yang berusia 40-an kini dirawat di Hospital Lahad Datu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.25 pagi.

Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bomba dikerah bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

Berdasarkan maklumat, katanya lelaki terbabit bersama anaknya dipercayai diserang buaya ketika mendayung sampan.

"Lelaki dewasa berjaya diselamatkan orang awam namun mengalami kecederaan parah akibat serangan reptilia itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 9:25 PM