GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Juwan Riduan


Lahad Datu: Tiga buaya jantan yang mengancam keselamatan penduduk ditembak mati dalam operasi bersepadu yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini.

Turut tumpas dalam operasi bermula 8 pagi sehingga 4 petang Rabu itu adalah seekor buaya besar yang panjangnya 3.4 meter.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, operasi itu digerakkan demi keselamatan penduduk, bagi memastikan kawasan bebas ancaman reptilia berkenaan.

"Kita menjalankan operasi di sekitar Jeti PPM Lahad Datu, kawasan laut Kluster Industri Minyak Sawit (POIC), Sungai Sabah Baru, Kampung Puyut, Sungai Sapagaya dan Tabanak.

"Hasil operasi berjaya menembak mati tiga buaya dengan salah satunya adalah buaya bersaiz besar sepanjang 3.4 meter.

"Semua buaya itu dinaikkan ke darat dan diserahkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain PPM, operasi turut disertai pasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Angkatan Pertahanan Awam (APM), JHL, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17.

Turut sama, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 2:16 PM