TELUR penyu yang dirampas Pasukan Polis Marin di Pasar Lahad Datu. FOTO ihsan PPM.
TELUR penyu yang dirampas Pasukan Polis Marin di Pasar Lahad Datu. FOTO ihsan PPM.
Hazsyah Abdul Rahman

PASUKAN Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan menjual 250 telur penyu kepada orang awam di Pasar Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian 10 pagi itu, telur penyu dianggarkan bernilai RM500 ditemui dalam baldi dan bakul di pasar berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, rampasan dibuat hasil daripada risikan dan pemantauan pegawai serta anggota Unit Risikan Marin (URM) PPM Lahad Datu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bekas itu berisi telur penyu sebanyak 250 biji dengan nilai anggaran berjumlah RM500 dipercayai untuk dipasarkan kepada orang awam di sekitar pasar berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di Lahad Datu, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad Pajeri berkata, tiada suspek ditahan dan tiada siapa mengaku sebagai pemilik telur penyu itu.

Sehubungan itu, kedua-dua bekas yang berisi telur penyu itu dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk proses dokumentasi dan seterusnya diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 9:47 AM