KENDERAAN membawa Najib hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes 1MDB. FOTO Rohanis Shukri
KENDERAAN membawa Najib hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes 1MDB. FOTO Rohanis Shukri
Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Cubaan pendakwaan untuk memasukkan rakaman audio perbualan di antara Datuk Seri Najib Razak dengan seseorang dipanggil Yang Mulia (Your Highness) dikatakan kerabat diraja Arab akan menjejaskan hak bekas perdana menteri itu mendapatkan perbicaraan adil.

Peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini berhujah, ia adalah kerana terdapat kebimbangan sama ada cara digunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan rakaman audio itu adalah sah di sisi undang-undang.

Pada prosiding sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memohon untuk memasukkan rakaman audio yang didedahkan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya pada 8 Januari 2020, sebagai bukti dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Najib.

Menurut Muhammad Shafee, SPRM mungkin tidak mematuhi Seksyen 43 Akta SPRM 2009 berhubung cara mendapatkan rakaman audio itu sekaligus menafikan hak asasi dan privasi Najib serta hak mendapatkan perbicaraan adil, mengikut Perkara 5 (kebebasan diri) dan Perkara 8 (kesamarataan) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ia bukan hanya menyentuh perkara berkaitan prosedur dalam siasatan jenayah, tetapi juga membabitkan hak perlembagaan seseorang tertuduh.

"Mahkamah perlu melihat kesan penerimaan masuk rakaman audio itu kepada hak tertuduh.

"Penggunaan bukti berkenaan hanya memberi kelebihan kepada pendakwaan sedangkan pihak pembelaan tidak dapat menggunakannya, malah rakaman itu tidak boleh disahkan ketulenannya kerana pembuat rakaman atau rakaman asal tidak perlu dibuktikan di mahkamah.

"SPRM tidak boleh merakam perbualan begitu sahaja tanpa mematuhi peruntukan undang-undangnya sendiri," katanya ketika berhujah bagi membantah permohonan pendakwaan.

Peguam itu berkata, sementara itu Seksyen 41A Akta SPRM 2009 secara tidak langsung menghalang kuasa mahkamah untuk membuat keputusan dalam menerima sesuatu bukti.

Katanya, ia menyatakan mahkamah perlu menerima apa sahaja dokumen yang diperolehi SPRM.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menetapkan hari ini bagi menyambung hujahan.

Najib, 69 menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 3:33 PM