MOHD Irwan Serigar (tengah) ketika hadir di mahkamah hari ini. FOTO Fathil Asri.
MOHD Irwan Serigar (tengah) ketika hadir di mahkamah hari ini. FOTO Fathil Asri.
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: "Suara itu kedengaran seperti Najib (Datuk Seri Najib Razak," kata bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah selepas Mahkamah Tinggi hari ini memainkan rakaman audio dikatakan perbualan antara bekas perdana menteri itu dengan pemimpin Arab.

Mohd Irwan yang juga saksi ke-42 pendakwaan berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, apabila dirujuk salah satu daripada empat rakaman yang dimainkan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

Dalam empat rakaman berkenaan, tiga daripadanya dikatakan perbualan antara Najib dan dan pemimpin dari Arab

"Sesiapa sahaja boleh mengecam suara itu, tetapi ia tidak berlaku di hadapan saya… jadi saya katakan, salah satu suara itu seperti suara Datuk Seri Najib, satu lagi (suara) seperti orang Arab," katanya.

Sementara itu, Mohd Irwan turut mengenal pasti suara bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dalam salah satu rakaman berkenaan.

Terdahulu sebelum perbicaraan kes bermula, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan pendakwaan untuk menerima masuk empat rakaman audio terbabit sebagai bukti dalam prosiding kes.

Pendakwaan memohon rakaman itu diterima masuk mengikut Seksyen 41(A) Akta SPRM, iaitu 'peruntukan khas' yang mengatasi Seksyen 65 Akta Keterangan berkaitan bukti berdokumen, bagi mencabar pergantungan Najib terhadap pembelaan derma daripada Arab.

Rakaman audio dipertikaikan itu dimainkan di mahkamah ketika Mohd Irwan memberi keterangan dan mengenal pasti suara berkenaan kedengaran seperti Najib, ketika memberikan keterangan tahun lalu.

Dalam rakaman itu, suara seperti Najib memanggil seorang individu sebagai 'Yang Teramat Mulia' dan bercakap mengenai keperluan menyelesaikan kebuntuan berhubung isu 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC) yang didakwa memalukan Malaysia serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ketika disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Mohd Irwan berkata, beliau tidak dapat memastikan sama ada rakaman berkenaan adalah palsu atau sebaliknya kerana beliau bukan seorang pakar untuk menentukannya.

Mohd Irwan bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee

bahawa seseorang tidak akan mengetahui konteks sebenar perbualan itu tanpa mendengar keseluruhan rakaman perbualan.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Perbicaraan kes di hadapan Sequerah bersambung pada 7 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 5:06 PM