DATUK Seri Najib Razak hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
DATUK Seri Najib Razak hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu yang dibicarakan dalam kes membabitkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukannya bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata permohonan Najib supaya pendakwaan mengemukakan beberapa penyata perbankan serta dokumen lain yang dipercayai ada kaitan dengan keluarga Zeti, kepada pasukan pembelaannya dalam kes 1MDB itu adalah remeh.

Sri Ram berhujah apa yang didakwa keluarga Zeti telah menerima dana yang berkaitan dengan 1MDB sama sekali tidak ada kaitan sama ada Najib telah menyalahgunakan kedudukannya ketika memegang jawatan perdana menteri serta menteri kewangan, dan sebagai pemegang saham tunggal 1MDB di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

"Kami telah mengemukakan bukti yang meyakinkan (semasa perbicaraan) bahawa wang masuk ke akaun tertuduh. Pihak pembelaan perlu menunjukkan bagaimana bukti (yang diperlukan) relevan dengan tuduhan tersebut.

"Permohonan (untuk dokumen yang berkaitan dengan Zeti) adalah remeh. Apabila permohonan tidak wajar, ia bercanggah terhadap isu-isu perbicaraan. Perkara itu tidak dibenarkan mengikut undang-undang kita dan ini adalah usaha tertuduh untuk mendapatkan prasangka terhadap kredibiliti Tan Sri Zeti sebelum beliau memberikan keterangan," kata Sri Ram ketika membantah permohonan Najib itu.

Sri Ram berhujah demikian pada prosiding permohonan Najib bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengarahkan pihak pendakwaan mengemukakan beberapa penyata perbankan dan dokumen lain kepada pasukan pembelaannya dalam kes 1MDB, yang Zeti disenaraikan sebagai saksi pendakwaan ke-26 dalam perbicaraan itu.

Beliau berkata permohonan tersebut gagal memenuhi syarat-syarat yang relevan kerana dokumen yang dimohon mesti diperlukan dan wajar untuk tujuan perbicaraan.

Antara dokumen yang dimohon Najib pada 24 Mac adalah penyata akaun bagi Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd, dan Central Holdings Ltd yang dikatakan ada kaitan dengan anggota keluarga Zeti dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho or Jho Low.

Sementara itu, mengenai permohonan kedua Najib yang difailkan pada 7 April bagi mendapatkan dokumen berkaitan dengan perjanjian sulit yang ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan bank pelaburan Amerika Syarikat, Goldman Sachs, Sri Ram berkata dokumen yang diminta Najib itu tidak ada dalam simpanan pihak pendakwa.

"Kami tidak mempunyai kawalan terhadap dokumen yang dimohon itu termasuk rekod telefon bimbit pegawai Goldman Sachs Tim Leissner. Sebagai pendakwa raya, yang kami ada adalah hak untuk memanggil saksi.

"Sama ada Leissner atau Goldman Sachs memberi rasuah kepada saksi tidak relevan. Pihak pembelaan berpendapat bahawa ada konspirasi antara Jho Low dan yang lain dalam 1MDB tetapi tertuduh juga mendapat manfaat daripada dana tersebut," katanya.

Semasa memohon mahkamah menolak permohonan Najib itu, Sri Ram berhujah bahawa tertuduh gagal memenuhi ujian relevan yang ketat di bawah Seksyen 51 Kanun Prosedur Jenayah untuk mengemukakan dokumen dan barang yang diminta dalam kedua-dua permohonannya.

Sebelum itu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata pihak pengurusan 1MDB, Ambank (Najib membuka akaunnya) dan BNM, yang digambarkan peguam sebagai "kubu terakhir" dalam melindungi dana Najib juga gagal memberi amaran kepada bekas perdana menteri itu mengenai sejumlah besar wang yang masuk ke akaunnya.

"Ada beberapa tahap kompromi dan konspirasi di institusi ini (BNM). Itulah sebabnya mengapa dokumen yang berkaitan dengan Zeti menjadi relevan. Sekiranya ahli keluarganya menerima sejumlah besar wang daripada Low, kredibilitinya boleh dipertikaikan," tambah Muhammad Shafee.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan 12 Julai untuk keputusan bagi kedua-dua permohonan itu.

Najib, 68, berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 11:17 PM