BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebaik pusat mengundi dibuka awal pagi ini, calon-calon bertanding termasuk pemimpin parti tidak ketinggalan hadir awal bagi menunaikan tanggungjawab mereka bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menariknya, ada dalam kalangan mereka turut sama beratur bersama pengundi lain sementara menunggu pusat pengundian dibuka.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengundi di Madrasah Manbail Ulum Sungai Nipah Darat, tiba jam 8.20 pagi untuk menunaikan tanggungjawabnya.

Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Putrajaya yang juga Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin pula tiba untuk mengundi di Sekolah Rendah Agama Al-Najah, Presint 9, Putrajaya, pada 8.20 pagi.

Calon PN bagi Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tiba pada 8.30 pagi untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Klang Gate, Hulu Kelang.

Penyandang yang juga calon PN Parlimen Kota Bharu yang juga Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula tiba 7.48 pagi di Maktab Sultan Ismail (SIC), Kota Bharu bagi menanti pusat mengundi dibuka pada 8 pagi.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga calon BN Parlimen Pontian juga menjadi antara individu terawal mengundi di SK Seri Bahagia di Benut, Pontian, pada 8 pagi sebaik pusat pengundian dibuka.

Takiyuddin Hassan bersama isteri menunjukkan jari masing-masing  selepas menunaikan tanggungjawab mengundi. FOTO BERNAMA
Takiyuddin Hassan bersama isteri menunjukkan jari masing-masing selepas menunaikan tanggungjawab mengundi. FOTO BERNAMA

Naib Presiden Umno Datuk Seri Khaled Nordin yang juga calon BN Parlimen Kota Tinggi pula tiba di pusat mengundi SK Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor, kira-kira 8.10 pagi bagi menunaikan tanggungjawab mengundi.

Calon BN bagi Parlimen Kemaman yang juga Pengerusi BN Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bersama isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud pula tiba di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada 7.55 pagi.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga calon BN Pulai tiba bersama isteri Rossana Jaafar serta ibunya Puan Seri Salbiah Abd Hamid, 84, tiba di pusat mengundi SK Agama Dato Omar Yusuf, Johor Bahru, pada 8.15 pagi.

Calon BN Kuala Selangor Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang pertama kali bertanding tiba di pusat mengundi SK Puncak Alam 2, kira-kira 8.20 pagi.

Ahmad Zahid dan keluarga selesai mengundi di pusat mengundi  Madrasah Manbail Ulum, Sungai Nipah Darat dekat sini pagi tadi. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Ahmad Zahid dan keluarga selesai mengundi di pusat mengundi Madrasah Manbail Ulum, Sungai Nipah Darat dekat sini pagi tadi. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof bersama isterinya Datin Seri Raziah Mohd Tahir selesai mengundi di SK Rakyat, Jalan Bolhassan, Kuching, Sarawak, jam 8.31 pagi.

Proses pengundian PRU15 bermula secara rasmi pada 7.30 pagi ini di Sabah, Sarawak dan Labuan manakala di Semenanjung Malaysia ia bermula pukul 8 pagi ini.

Turut diadakan serentak ialah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bugaya, Sabah yang tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan Covid-19.

Pusat mengundi di Semenanjung Malaysia akan ditutup secara berperingkat antara pukul 12 tengah hari dan 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 10:01 AM
Mohd Radzi Md Jidin bagi Parlimen Putrajaya Dr Mohd Radzi Md Jidin menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat pengundian di Sekolah Rendah Agama Al-Najah, Presint 9 hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Radzi Md Jidin bagi Parlimen Putrajaya Dr Mohd Radzi Md Jidin menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat pengundian di Sekolah Rendah Agama Al-Najah, Presint 9 hari ini. FOTO BERNAMA