Ekhwan Haque Fazlul Haque


Masjid Tanah: Proses mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula jam 8 pagi tadi.

Tinjauan di Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K) di sini mendapati pengundi mula hadir untuk menunaikan tanggungjawab jam 7.45 pagi.

Anggota polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau keadaan pusat pengundian ini bagi memastikan semua pengundi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Setiap pengundi akan mengimbas kod QR selain pemeriksaan suhu badan di khemah khas yang disediakan di perkarangan sekolah.

Proses pengundian berjalan lancar setakat ini dengan semua pengundi beratur sebelum dibenarkan masuk ke saluran mengundi masing-masing.

Maimon Hassan, 78, menjadi pengundi pertama apabila selesai menunaikan tanggungjawab pada 8.15 pagi.

Dia yang berkerusi roda teruja apabila menjadi pengundi pertama walaupun berkerusi roda kerana mengalami kecederaan kaki akibat kemalangan.

Orang awam membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika tinjauan di Pusat Mengundi SK Durian Tunggal, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Orang awam membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika tinjauan di Pusat Mengundi SK Durian Tunggal, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD

"Walaupun berkerusi roda, saya tetap bersemangat hadir awal untuk menunaikan tanggungjawab," katanya.

Calon Barisan Nasional (BN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dijangka mengundi di lokasi sama hari ini.

Hari ini, seramai 476,037 orang pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 orang pengundi berdaftar akan memilih parti yang diberikan mandat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 9:09 AM