KAWASAN bayi lelaki ditemui di tempat letak kasut di sebuah rumah di Taman Saujana Impian, Kajang. FOTO IHSAN PDRM
KAWASAN bayi lelaki ditemui di tempat letak kasut di sebuah rumah di Taman Saujana Impian, Kajang. FOTO IHSAN PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Bayi lelaki ditemui di tempat letak kasut di sebuah rumah di Taman Saujana Impian, Kajang dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, bayi berkenaan ditemui penghuni rumah terbabit pada jam 11.39 malam dalam keadaan hanya memakai lampin.

Menurutnya, penghuni berkenaan kemudian menguruskan bayi itu dengan memberikan susu dan pakaian sebelum melaporkan perkara berkenaan di Balai Polis Kajang.

"Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang nota ditinggalkan bersama bayi berkenaan. Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan awal dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serta berada dalam keadaan sihat.

"Bayi itu dianggarkan berusia kira-kira dua minggu berdasarkan berat badan dan keadaan tali pusatnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, bayi berkenaan kini ditempatkan sementara di Wad Kanak-kanak, Hospital Kajang, untuk tujuan pemantauan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu, untuk tampil membantu siasatan polis," katanya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mu'az Mazlan, melalui talian 017-9788804 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 2:25 PM