HENG Lee Shuan, 32, (kiri) dan suaminya mendakwa anak mereka didera pengasuh di sebuah taska di Bandar Mahkota Cheras. FOTO Saifullizan Tamadi.
HENG Lee Shuan, 32, (kiri) dan suaminya mendakwa anak mereka didera pengasuh di sebuah taska di Bandar Mahkota Cheras. FOTO Saifullizan Tamadi.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kajang: Polis menyiasat dakwaan bayi perempuan berusia 17 bulan didera pengasuh di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan mengesahkan menerima laporan kes itu daripada bapa bayi berkenaan pada 7.36 malam Rabu lalu.

Katanya, dalam laporan lelaki itu yang juga pemandu e-hailing mendakwa anaknya diperlakukan dengan kasar ketika disuap makan, dengan rambutnya ditarik serta dipicit hidung.

"Dakwanya, akibat kekasaran itu hidung anaknya mengalami kecederaan dan pemeriksaan di hospital mengesahkan bayi itu mengalami 'soft tissue injury'.

"Siasatan lanjut juga mendapati taska berkenaan beroperasi hampir tiga bulan tetapi disyaki masih belum mempunyai lesen pengoperasian yang sah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketika ini pusat itu mempunyai sembilan kanak-kanak dalam jagaan dan tiga penjaga merangkap guru.

Mohd Zaid memaklumkan sudah memanggil pengasuh terbabit dan pihak berkaitan untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu, media ibu bapa bayi itu mendedahkan anak mereka berkemungkinan didera dan membuat laporan polis selepas bekas pekerja taska berkongsi maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 8:47 PM