GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kajang: Seorang lelaki maut selepas terbabit dalam pergaduhan di Taman Taragon Puteri, Batu 9 di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, lelaki berkenaan ditemui terbaring dengan kesan kecederaan di bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pergaduhan sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

"Anggota polis yang tiba di tempat kejadian menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian.

"Hasil siasatan awal pihak polis mendapati suspek bersenjatakan pisau dan batu bata melalui kesan kecederaan fizikal pada mangsa (si mati)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang menjalankan operasi khas bagi mengesan semua saspek yang terbabit dalam kejadian itu.

"Polis berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia 39 hingga 48 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Semua mereka dibenarkan reman oleh Majistret Mahkamah Kajang selama enam hari mulai hari ini hingga 8 Ogos 2021 untuk membantu siasatan kes," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan individu lain yang terbabit dalam kejadian pergaduhan itu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 4:17 PM