RAKAMAN video tular yang memaparkan aksi pergaduhan antara dua pelajar sekolah menengah dengan sekumpulan lelaki di Sungai Long, Kajang, Khamis lalu.
RAKAMAN video tular yang memaparkan aksi pergaduhan antara dua pelajar sekolah menengah dengan sekumpulan lelaki di Sungai Long, Kajang, Khamis lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Empat lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan dengan pelajar sekolah menengah di Sungai Long, di sini, pada 14 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 3.04 petang, Khamis lalu.

"Dalam kejadian itu, dua pelajar sekolah diserang sekumpulan lelaki seramai kira-kira 10 orang menggunakan paip polyvinyl chloride (PVC) dan batang besi.

"Kesemua suspek dikatakan melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki dua kenderaan berbeza," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa masing-masing berusia 16 dan 17 tahun itu cedera di kepala dan badan akibat dipukul suspek dan menerima rawatan di Hospital Kajang.

"Setakat ini, polis sudah menahan empat lelaki berusia 18 hingga 21 tahun di sekitar Ampang, semalam.

"Semua suspek direman sehingga 22 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Polis masih mengesan baki suspek dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mu'az Mazlan di talian 017-9788804 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, rakaman video berdurasi 16 saat yang memaparkan pergaduhan pada waktu tamat sesi persekolahan pagi tular di Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 2:04 PM