Penduduk Kampung Cemperai dan Kampung Seri Tanjung mula berpindah selepas kawasan itu dilanda banjir kilat sejak 6 pagi tadi. FOTO Samadi Ahmad
Penduduk Kampung Cemperai dan Kampung Seri Tanjung mula berpindah selepas kawasan itu dilanda banjir kilat sejak 6 pagi tadi. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Sepang: Kebimbangan dirasai penduduk bakal berulang banjir besar di daerah ini, menjadi kenyataan apabila Kampung Cemperai dan Kampung Seri Tanjung, Dengkil di sini, ditenggelami banjir susulan hujan lebat malam tadi.

Lebih memburukkan keadaan apabila ban Sungai Langat di sini, pecah mengakibatkan beberapa kawasan kediaman dilimpahi air sungai.

Tinjauan wartawan tadi mendapati penduduk berpindah dan mencari pelindungan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Dengkil di sini.

Salah seorang mangsa yang juga penduduk Kampung Seri Tanjung, Leman Abd Rahman, 61, berkata, banjir mula menenggelamkan rumahnya pada jam 6 pagi tadi.

Menurutnya, banjir berpunca apabila ban sungai berhampiran kampung berkenaan pecah akibat tidak mampu menampung kapasiti air berlebihan.

"Kebanyakan penduduk hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sahaja manakala selebihnya ditenggelami air.

"Banjir kali ini sedalam hampir satu meter dan keadaan ini tidak jauh bezanya ketika banjir besar melanda pada Disember tahun lalu," katanya.

Sementara itu seorang penduduk Kampung Cemperai, Yusmi Hanif Ariffin,46, berkata, jiwa rata-rata penduduk amat tertekan selepas mengalami kerugian besar akibat banjir sebelum ini.

"Kebanyakan kami yang baru bangkit dari kesedihan ( bencana banjir Disember tahun lalu) sekali lagi diuji dengan banjir besar hari ini," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim yang ditemui berkata, pihaknya sedang memantau dan menyenarai kawasan yang dilanda banjir di seluruh Sepang.

Menurutnya, selain Kampung Cemperai dan Kampung Seri Tanjung beberapa kawasan lain turut dinaiki air seperti Kampung Sungai Buah dan Jenderam Hilir di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 3:13 PM