DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengadakan lawatan ke Sungai Langat, di Dengkil semalam. FOTO ihsan KASA
DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengadakan lawatan ke Sungai Langat, di Dengkil semalam. FOTO ihsan KASA
Samadi Ahmad


Dengkil: Penderitaan 5,000 penduduk yang sering berhadapan banjir kilat di beberapa kampung di kawasan ini bakal berakhir apabila kerajaan bersetuju memperuntukkan RM41 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 1 di Sepang.

Menteri Alam Sekitar dan Air (Kasa) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peruntukan disediakan itu bagi mengatasi risiko banjir yang sering berlaku di kawasan Dengkil dan Sepang.

Menurut beliau, pihaknya banyak menerima aduan di media sosial daripada penduduk di beberapa kampung di kawasan ini berhubung kejadian banjir kilat yang sering melanda di kawasan itu setiap kali hujan lebat.

Katanya, beliau turut mendengar taklimat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyatakan kawasan ini sering dilanda banjir dan ban pecah sehingga menyebabkan harta benda penduduk rosak.

"Bagi penyelesaian jangka pendek dan segera kementerian meluluskan peruntukkan RM600,000 bagi penyelenggaraan sistem perparitan, menaik taraf ban Sungai Semarang dan pengaktifan pam di pintu air sungai berkenaan serta merta," katanya yang dikongsi menerusi Facebooknya selepas mengadakan lawatan ke Kampung Sri Tanjung dan Kampung Lalang, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Dengkil Adhif Syan Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 2:41 PM