Penduduk Kampung Cemperai dan Kampung Seri Tanjung mula berpindah selepas kawasan itu dilanda banjir kilat sejak 6 pagi tadi. Foto Samadi Ahmad
Penduduk Kampung Cemperai dan Kampung Seri Tanjung mula berpindah selepas kawasan itu dilanda banjir kilat sejak 6 pagi tadi. Foto Samadi Ahmad
Samadi Ahmad

Sepang: Beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir susulan hujan lebat sejak malam tadi dan ban Sungai Langat pecah di beberapa kawasan.

Antara kawasan dilanda banjir teruk adalah Kampung Cemperai dan Kampung Seri Tanjung di Dengkil.

Tinjauan mendapati penduduk sudah mula berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Dengkil.

Penduduk Kampung Seri Tanjung, Leman Abd Rahman, 61, berkata, air mula masuk dengan laju di kediaman sejak 6 pagi tadi selepas ban bedekatan kampung itu pecah dan tidak dapat menakung air disebakan hujan lebat.

Katanya,kebanyakkan penduduk hanya sempat menyelamatkan sebahagian barangan dan selebihnya ditenggelami air.

"Setakat ini paras air setinggi satu meter dan terus mengalir masuk ke kawasan penduduk dan keadaanya sama dengan banjir besar yang melanda kawasan ini pada penghujung tahun lalu," katanya ketika ditemui di kawasan banjir di sini, hari ini.

Sementara itu penduduk Kampung Cemperai, Yusmi Hanif Ariffin, 46, berkata, ramai penduduk tidak sempat menyelamatkan barangan kerana air yang masuk kekediaman penduduk sangat pantas.

"Benteng ini perlu dibina dengan konkrit dan bukan menambak tanah kerana ia tidak kukuh dan mudah pecah," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim yang ditemui di kawasan banjir berkata, pihaknya sedang memantau dan menyenarai kawasan yang dilanda banjir di seluruh Sepang.

Menurutnya, selain Kampung Cemperai dan Kampung Seri Tanjung beberapa kawasan lain turut dinaiki air seperti Kampung Sungai Buah dan Jenderam Hilir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 11:34 AM