NIK Nazmi melawat Pintu Kunci Air Sri Tanjong Sungai Langat di Kampung Sri Tanjong, Dengkil. FOTO Aizuddin Saad
NIK Nazmi melawat Pintu Kunci Air Sri Tanjong Sungai Langat di Kampung Sri Tanjong, Dengkil. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Iskandar Ibrahim


Sepang: Kerajaan memperuntukkan RM725.7 juta bagi melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) untuk menyelesaikan masalah bencana itu di kawasan Dengkil sehingga Labohan Dagang di sini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata projek RTB itu dilaksanakan di Sungai Langat Fasa 1 dan Sungai Langat Fasa 2 bagi melindungi kira-kira 120,000 penduduk di kawasan berkenaan.

Katanya, kedua-dua projek itu menjadi rancangan jangka panjang Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menerusi Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS).

"Pada masa ini, Projek RTB Sungai Langat Fasa 1 sedang dalam proses pengambilan tanah dan dijangka siap pada 2027 manakala RTB Sungai Langat Fasa 2 dijangka bermula pada Januari 2024 dan siap sepenuhnya menjelang 2030.

"Ia adalah projek di bawah Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi (TBBT). Bagi tindakan jangka pendek pula, kekerapan penyelenggaraan sistem saliran di kawasan berkenaan sudah ditingkatkan oleh pihak berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa kawasan yang terkesan banjir serta Pintu Air Sungai Semarang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, kejadian banjir yang berlaku di Jalan Utama Taman Warisan Suria dan Persimpangan FT29/ FT32 di sini, pada 5 November lalu berpunca daripada jumlah air kelodak dari kawasan pembangunan, menyebabkan berlaku limpahan dari Sungai Kelinsing.

Justeru, beliau meminta dan mengingatkan semua pemaju supaya mematuhi Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang dikeluarkan oleh JPS.

"Faktor sistem saliran yang tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak dan tidak diselenggara juga turut menyumbang kepada berlakunya banjir di kawasan terbabit," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, projek menaiktaraf ban Sungai Parit Tampoi akan disiapkan di bawah projek RTB melalui peruntukan kerajaan Selangor yang bernilai RM9 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada 12 Jun 2025.

Dalam kejadian 5 November lalu, beberapa penempatan dinaiki air akibat hujan lebat berterusan selama sejam antaranya Kampung Sungai Buah, Kampung Jenderam Hilir, Kampung Cemperai, Kampung Seri Tanjung, Taman Delima, Kampung Orang Asli Sungai Melut, Persimpangan FT29/ FT32 dan kuarters Penternakan Ayamas Sdn Bhd di Jalan Utama Taman Warisan Suria.

Dianggarkan sebanyak 148 rumah terjejas dan seramai 395 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir berkedalaman 0.2 hingga 0.5 meter.

Hujan lebat dengan rekod bacaan 108 milimeter yang berterusan melebihi satu jam di kawasan Hulu Sungai Semenyih dan Hulu Sungai Langat turut menyebabkan paras air Sungai Langat meningkat sehingga 12.21 meter, melepasi paras bahaya iaitu 11.00 meter, pada jam 5.30 pagi hari sama.

Banjir bertambah buruk selepas air Sungai Parit Tampoi di kawasan Kampung Cemperai melimpah akibat arus air yang deras.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 11:53 AM