GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Samadi Ahmad


Sepang: Seramai 11 mangsa banjir di daerah ini dikesan positif Covid-19 melalui ujian saringan dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim berkata, individu positif itu dikesan di PPS Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil, Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Giching, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, SRA Gincing, SRA Labu Lanjut dan Balai Raya MPKK Giching.

Beliau berkata, individu positif itu dipindahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang dan Hospital Serdang bagi menjalani rawatan.

"Setakat 10 pagi hari ini, jumlah mangsa banjir dipindahkan ke PPS mukim Labu seramai 143 orang dan mukim Dengkil seramai 283 orang.

"Keadaan lokasi banjir menampakkan sedikit perubahan apabila ada kawasan sudah mulai surut seperti di Kampung Giching, Kampung Salak Tinggi, Kampung Cinchang, Kampung Cemperai, Pusat Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Ampar Tenang," katanya.

Khairi Azali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang berkata, kawasan belum surut adalah Taman Dataran Abadi, Labu Lanjut, Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kota Warisan dan Kampung Sri Tanjong.

Beberapa kawasan di Dengkil dan Labu dinaiki air sejak petang Rabu lalu apabila hujan lebat sehingga menyebabkan ban Sungai Labu pecah dan air Sungai Langat menjadi penuh dan melimpah ke kawasan penempatan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 2:57 PM