Ahmad Suhael Adnan


Image

Kuala Lumpur: Parlimen Titiwangsa menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon daripada empat gabungan utama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon Parlimen Titiwangsa, Firdzaus Said di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini, hari ini.

Kerusi itu bakal menyaksikan pertembungan sengit antara dua calon 'heavyweight', seorang ahli politik kontroversi serta seorang calon tunggal wanita di Parlimen Titiwangsa.

Mereka adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mewakili BN; Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad (PH); Pengerusi Perhubungan Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Rosni Adam (PN).

Johari yang pernah menyandang kerusi itu sembilan tahun lalu pada PRU-13, mengetuai misi BN untuk merampas kembali Parlimen Titiwangsa.

Ia juga dilihat sebagai misi balas dendam berikutan Johari gagal mempertahankan kerusi panas itu dalam PRU-14 selepas tewas kepada calon PH, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

PH pula mempertaruhkan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad, dalam usaha mempertahankan kerusi yang dimenangi gabungan itu lima tahun lalu.

Khalid yang menang di Parlimen Shah Alam sewaktu PRU-14, menjadi pilihan di Titiwangsa berdasarkan pengalamannya yang pernah berurusan dalam beberapa isu penduduk di kawasan itu ketika menjadi Menteri Wilayah Persekutuan selama 22 bulan.

JOHARI (dua dari kiri ) bersama Khairuddin (kiri), Khalid (dua kanan) dan Rosni yang bakal bersaing bagi Parlimen Titiwangsa. FOTO Aswadi Alias
JOHARI (dua dari kiri ) bersama Khairuddin (kiri), Khalid (dua kanan) dan Rosni yang bakal bersaing bagi Parlimen Titiwangsa. FOTO Aswadi Alias

Pertembungan antara Johari yang juga bekas Menteri Kewangan II dengan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu, dijangka menjadi tumpuan utama di Titiwangsa sepanjang PRU-15, dan isu pembangunan Kampung Baru mungkin menjadi isu yang akan disentuh kedua-dua calon.

Selain dua calon 'heavyweight' itu, perebutan kerusi Parlimen Titiwangsa akan turut membabitkan Khairuddin mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), yang menjadi sebahagian komponen GTA.

Suami kepada pelakon Datin Seri Umie Aida itu pernah bertanding di Parlimen Jasin mewakili PH dalam PRU-14, namun tewas tipis oleh calon BN, Datuk Seri Ahmad Hamzah dengan majoriti 219 undi.

PN juga akan turut mencuba nasib merampas kerusi Parlimen Titiwangsa dengan mempertaruhkan seorang doktor gigi yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Rosni Adam.

Selaku calon wanita tunggal di Parlimen Titiwangsa, Dr Rosni yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas, dilihat bakal berdepan cabaran getir untuk menumbangkan nama besar dalam arena politik tanah air.

Bagaimanapun, misi itu tidak mustahil memandangkan PAS pernah mencipta kejutan dengan merampas kerusi Titiwangsa yang pernah menjadi kubu kuat BN dalam PRU-12, menerusi calon wanita Allahyarhamah Dr Lo'lo' Mohamad Ghazali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 11:33 AM