JOHARI. FOTO Arkib NSTP
JOHARI. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Pengundi atas pagar yang masih belum memutuskan pihak yang mahu diundi pada 19 November nanti, disaran memilih calon yang mampu berbakti kepada kawasan masing-masing berbanding mengundi berdasarkan parti yang diwakili.

Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani yakin pemilihan berdasarkan calon akan membantu pengundi membuat pilihan tepat kerana mereka boleh melihat sendiri calon mana yang mampu menawarkan perkhidmatan terbaik untuk kawasan masing-masing.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, pengundi boleh membuat keputusan dengan membandingkan rekod serta prestasi perkhidmatan calon yang bertanding, bagi mengelak tertipu dengan janji manis ditawarkan parti politik.

"Kalau kita berada dalam keadaan tidak pasti, adalah lebih baik kita menilai setiap calon supaya kita tidak tertipu dengan apa saja janji manis seperti yang telah kita lalui pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14).

"Itu saja cara penyelesaian. Kalau kita kurang pasti, kita balik kepada individu (yang bertanding) dan lihat rekod perkhidmatan mereka. Anda tidak akan buat silap (jika pilih berdasarkan calon)," katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan sekitar Kampung Datuk Keramat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dapatan kaji selidik REV Media Group yang menunjukkan majoriti pengundi lebih cenderung memilih calon berbanding parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-15).

Dapatan kaji selidik itu merekodkan 34.8 peratus responden akan memilih calon bertanding, berbanding membuat pilihan berdasarkan parti politik (28.2 peratus), gabungan parti politik (19 peratus) atau manifesto parti (17.8 peratus).

Dalam PRU-15, Johari yang juga bekas Menteri Kewangan II, berdepan cabaran empat penjuru di Parlimen Titiwangsa, dengan tumpuan terarah pada pertembungan dengan calon Pakatan Harapan (PH) yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad.

Dua lagi individu yang mahu merebut kerusi panas di Parlimen Titiwangsa adalah Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas mewakili Perikatan Nasional (PN) Dr Rosni Adam dan Pengerusi Perhubungan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Pada PRU-14, kerusi Parlimen Titiwangsa dimenangi oleh Datuk Seri Rina Mohd Harun yang ketika itu mewakili PH dengan majoriti 4,139 undi, menewaskan Johari dan calon Pas, Mohamad Noor Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 2:38 PM