JOHARI meraih 25,042 undi dengan majoriti 4,632 undi dalam keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi P119 Titiwangsa di Dewan Bestari SMK Aminuddin Baki. FOTO Aziah Azmee.
JOHARI meraih 25,042 undi dengan majoriti 4,632 undi dalam keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi P119 Titiwangsa di Dewan Bestari SMK Aminuddin Baki. FOTO Aziah Azmee.
Mahaizura Abd Malik dan Affan Rostam


Kuala Lumpur: Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan pengorbanan beliau yang sentiasa bekerja untuk penduduk Titiwangsa sejak empat tahun lalu berbaloi apabila meraih kemenangan malam ini.

Johari berkata, biarpun tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), beliau masih mahu meneruskan khidmatnya untuk mendengar denyut nadi penduduk setempat.

"Saya merasa segala penat lelah bekerja walaupun bukan lagi menjadi wakil rakyat pada PRU-14 yang lalu (berbaloi).

"Saya sentiasa bekerja untuk rakyat selama empat tahun enam bulan, akhirnya mereka menghargainya (kemenangan ini)," katanya di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian selepas diisytiharkan menang dengan majoriti 4,632 selepas meraih 25,042 undi sekali gus menewaskan pencabarnya, Khalid Abdul Samad mewakili Pakatan Harapan (PH) yang meraih 20,410 undi.

Dua lagi pencabarnya iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Dr Rosni Adam meraih 14,518 undi serta Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Pejuang) meraih 888 undi.

Dalam pada itu, Johari turut berterima kasih kepada penduduk Titiwangsa kerana sekali lagi memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi wakil mereka serta bertekad akan memberikan perkhidmatan terbaik.

"Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh penduduk Titiwangsa khususnya pengundi saya.

"Ini adalah hadiah bagi saya kepada rakyat Titiwangsa.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada jentera dan pengundi kerana sekali lagi memberi kepercayaan kepada saya untuk lima tahun akan datang.

"Apabila saya sudah menang, sesiapa saja rakyat Titiwangsa akan diberikan perkhidmatan terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 1:05 AM