Affan Rostam


Kuala Lumpur: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani selesai mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 di pusat mengundi SK Taman Maluri di sini, pada 9.05 pagi ini.

Terdahulu, beliau tiba kira-kira jam 8.50 pagi bersama isterinya, Datin Seri Zurwati Haslinda Zainal Bahry.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan II berdepan saingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Khalid Abdul Samad, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Pejuang) serta Dr Rosni Adam yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pada PRU-14, kerusi Parlimen Titiwangsa disandang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dengan majoriti 4,139 undi selepas memperoleh sebanyak 23,840 undian.

Parlimen Titiwangsa mencatatkan seramai 80,747 pengundi berdaftar dengan tiga zon iaitu Kampung Pandan, Datuk Keramat dan Kampung Baru.

Daripada peratusan itu, 72.5 peratus bersamaan 58,509 pengundi Melayu, 16.4 peratus bersamaan 13,250 pengundi Cina, sementara 9.5 peratus 7,687 adalah pengundi India, dan lain-lain, 1.6 peratus bersamaan 1,301 pengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 9:51 AM