JOHARI ketika sesi dialog bersama penduduk di Pangsapuri Baiduri, Desa Pandan, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
JOHARI ketika sesi dialog bersama penduduk di Pangsapuri Baiduri, Desa Pandan, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Image

Kuala Lumpur: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, memandang serius aduan diterima daripada penduduk termasuk mengenai isu pembangunan.

Johari berkata, semasa menjadi Ahli Parlimen di kawasan itu, beliau memberi tumpuan kepada isu pembangunan termasuk di tiga lokasi utama iaitu Kampung Pandan, Kampung Keramat dan Kampung Baru.

"Setiap kali terima aduan daripada masyarakat, saya melihatnya secara serius, sama ada ia boleh tolong atau tidak. Saya akan lihat secara keseluruhannya.

"Ini termasuk isu pembangunan kerana ada banyak kawasan di Titiwangsa yang perlu dibangunkan.

"Kita tidak mahu hanya sekadar memberikan janji manis tapi benar-benar mahu menyelesaikan masalah dihadapi penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sesi dialog bersama penduduk di Pangsapuri Baiduri, Desa Pandan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembangunan di kawasan berkenaan perlu dijalankan secara berperingkat dan memerlukan tempoh panjang untuk dilaksanakan.

"Dari segi pembangunan, kita tak boleh buat dalam masa singkat kerana ia dijalankan secara berperingkat. Sebab itu, kita perlu laksanakan bukan hanya dalam tempoh satu penggal (lima tahun) saja.

"Beri lebih masa kepada kita untuk laksanakan perancangan di kawasan ini dengan memilih wakil rakyat dan kerajaan yang betul memimpin negara," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Johari yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno menentang Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad (PH); Pengerusi Perhubungan Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Rosni Adam (PN) bagi merampas semula kerusi berkenaan yang pernah disandangnya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 8:55 PM