Johari Abdul Ghani. FOTO BERNAMA
Johari Abdul Ghani. FOTO BERNAMA
Mahaizura Abd Malik dan Affan Rostam


Kuala Lumpur: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendakwa beliau memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa selepas meraih majoriti 4,678 undi.

Johari berkata, kemenangan itu amat bermakna berikutan hasil kerjasama semua pihak sejak lebih empat tahun lalu.

"Pertama sekali saya nak sebut, bahawa kemenangan ini adalah untuk rakyat Titiwangsa.

"Kemenangan ini agak mustahil kalau tidak kerana tuan puan semua.

"Sebenarnya ini hasil kerja tuan-tuan bersama saya selama empat tahun enam bulan," katanya ketika berucap di Pusat Operasi BN Titiwangsa, Taman Maluri di sini, malam ini.

Beliau diraikan ratusan penyokong di pusat berkenaan sebelum beredar ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Sementara itu, setakat 11.50 malam, Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini, merekodkan Johari mendahului tiga calon lain dengan meraih 23,417.

Beliau mengatasi calon Pakatan Harapan (PH), Khalid Abdul Samad yang meraih 19,727 manakala calon Perikatan Nasional (PN), Dr Rosni Adam (13,506) serta Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Pejuang) pula 815 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 12:12 AM