Muszaide Makmor. FOTO Omar Ahmad
Muszaide Makmor. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Kepimpinan Barisan Nasional (BN) Kota Tinggi dan cawangannya bersetuju dan menerima calon Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Kota Tinggi yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Muszaide Makmor berkata isu sebahagian kecil cawangan yang meminta parti mengekalkan penyandang Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique adalah isu sebelum calon diumumkan.

Katanya, sebaik Naib Presiden UMNO itu diumumkan sebagai calon BN Parlimen Kota Tinggi malam tadi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, keputusan itu diterima sebaiknya.

"Pada dasarnya akar umbi terbuka kerana kami ahli parti, keputusan kami terima dengan sebaiknya. Kehadiran Datuk Seri Khaled ke tempat kami, kami terima dengan hati terbuka.

"Ada yang mahu mengekalkan Ahli Parlimen lama itu perkara biasa, sebelum penamaan calon dimuktamadkan. Tetapi selepas dimuktamadkan mereka menerimanya, tidak ada halangan untuk terima pemimpin yang telah diputuskan parti.

"Bermula hari ini kami sedia mengekalkan kemenangan calon BN di Kota Tinggi. Tiada alasan kami berpecah, kami bersatu hati meneruskan kemenangan BN di tempat kami dan pastikan kemenangan diperolehi untuk membentuk kerajaan lebih stabil," katanya pada sidang media di Pejabat UMNO Bahagian Kota Tinggi di sini, hari ini.

Menurut Muszaide, kepimpinan bahagian dan cawangan juga mengucapkan terima kasih atas bakti dan khidmat yang dicurahkan Halimah sepanjang sepenggal di Parlimen Kota Tinggi.

Katanya, percaya kematangan akan meleraikan isu sebahagian kecil cawangan yang mahu mengekalkan penyandang kerusi parlimen itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 1:17 PM