HASNI (dua kanan)beramah mesra dengan tetamu selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Nelayan Pontian. FOTO ihsan Pejabat DUN
HASNI (dua kanan)beramah mesra dengan tetamu selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Nelayan Pontian. FOTO ihsan Pejabat DUN
Mohamed Farid Noh


Pontian: Barisan Nasional (BN) Johor dijangka membuat kejutan dengan meletakkan sekurang-kurangnya tiga atau empat "calon luar" yang akan bertanding di beberapa kawasan Parlimen di negeri ini, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata calon luar berkenaan merujuk kepada calon yang diletakkan bertanding di kawasan Parlimen berbeza daripada kawasan asal calon itu berkhidmat sebelum ini.

Katanya, calon luar yang berpengalaman itu didatangkan ke kawasan Parlimen terpilih itu bagi memastikan kemenangan dan keperluan masa depan parti.

"Memang terdapat kemungkinan calon yang diketengahkan tidak mengira kawasan yang mereka wakili sebelum ini. Mungkin negeri lain tidak terbabit, tetapi di Johor, saya melihat BN negeri perlu senaraikan calon yang terbaik.

"Saya secara peribadi berpendapat sememangnya keutamaan perlu diberikan kepada calon tempatan, bagaimanapun disebabkan keperluan tertentu, BN Johor perlukan strategi baharu serta terima juga calon terbaik yang akan mewakili parti.

"Pada waktu ini, saya diberi gambaran tiga atau empat kawasan Parlimen di negeri ini terllbabit dalam pertimbangan bagi 'calon luar' ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Nelayan Pontian di sini, hari ini.

Sebelum ini desas desus hangat menyatakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, akan membuat kemunculan semula bertanding di kerusi Parlimen Kota Tinggi pada PRU-15, selepas tewas mengejut di kerusi Parlimen Pasir Gudang, pada PRU-14 lalu.

Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar turut tewas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, PRU-14 lalu.

Nama Hasni turut hangat diperkatakan akan bertanding dan mengambil alih kerusi Parlimen Pontian daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, yang juga penyandang kerusi itu selama tiga penggal.

Hasni pernah menjadi Ahli Parlimen Pontian apabila memenangi kerusi itu pada PRU-11 sebelum memberi laluan kepada Ahmad dan bertanding di kerusi DUN Benut pada PRU-12. Beliau menyandang kerusi DUN Benut sehingga sekarang.

Nama Ahmad pula dikatakan bakal berpindah ke kerusi Parlimen lain termasuk yang hangat diperkatakan antaranya Tanjung Piai atau Simpang Renggam.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor berkata, penilaian calon-calon Parlimen negeri juga akan mengambil kira faktor mereka yang berpengalaman, mempunyai potensi masa hadapan selain mampu menyumbang kepada kemenangan parti.

Hasni turut menegaskan, BN Johor tetap memberi keutamaan kepada calon muka baharu yang akan ditengahkan bertanding di 26 kawasan parlimen di negeri ini.

"Memandangkan permintaan akar umbi yang mahukan calon muka baharu, BN Johor akan tampilkan sebanyak 60 peratus calon muka baharu, termasuk 30 peratus kuota calon wanita pada PRU-15.

"BN Johor tiada masalah untuk kenal pasti calon muka baharu kerana bagi saya, calon muka baharu ini dalam erti kata lain adalah mereka yang telah banyak memberikan sumbangan kepada kerja-kerja di dalam parti dan masyarakat," katanya.

Oleh itu, Hasni yang juga bekas Menteri Besar berharap senarai nama calon yang akan diumumkan kelak diterima setiap bahagian dan seterusnya dapat mengatur gerak kerja PRU-15 supaya memperoleh kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 1:01 PM