KHALED Nordin. FOTO Arkib NSTP
KHALED Nordin. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi sebagai kepercayaan besar Kerajaan Perpaduan.

Mohamed Khaled yang juga penyandang Parlimen Kota Tinggi turut merakamkan penghargaan di atas kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantiknya ke jawatan berkenaan.

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan melantik saya sebagai Menteri Pengajian Tinggi dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan ini.

"Sudah tentu ini adalah cabaran besar kepada saya bagi memastikan KPT kembali berfungsi sepenuhnya dalam mendepani cabaran era baharu yang pelbagai.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada kepimpinan tertinggi parti kerana telah memberikan penghormatan kepada saya untuk mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan ini," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Mohamed Khaled sebelum ini pernah menjawat jawatan Menteri Pengajian Tinggi pada 2008 hingga 2013.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kepada seluruh rakyat di Parlimen Kota Tinggi dan Johor khususnya, saya berjanji akan mengotakan janji kepada rakyat di Kota Tinggi.

"Terima kasih kepada anda semua yang memberi kepercayaan dan kemenangan kepada saya pada Pilihan Raya ke-15 (PRU-15) baru-baru ini.

"Ikrar saya untuk memastikan Kota Tinggi akan lebih ke hadapan dengan segala potensi yang dimiliki serta mengusahakan segala peluang baharu yang akan menjadikan Kota Tinggi lebih maju dan sejahtera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 9:24 PM