Omar Ahmad

Pasir Gudang: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk meletakkan dirinya sebagai calon Parlimen di mana-mana kawasan pada Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU-15).

Namun memaklumkan beliau tersenarai antara lima nama yang diserahkan kepada pucuk pimpinan parti sebagai calon Parlimen Pasir Gudang.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, ketika ini parti dalam proses untuk menentukan calon di setiap Parlimen.

"Ini baru di peringkat permulaan dan belum selesai di mana setiap bahan diminta menghantar sekurang-kurangnya lima nama.

"Bahagian Pasir Gudang kemukakan nama saya, tetapi apa pun keputusan akhirnya saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti. Setiap parti ada strategi dalam meletakkan calon, jadi saya serahkan kepada kepimpinan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Mawar, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros dan Timbalan Ketua UMNO bahagian Pasir Gudang, Baharudin Mohamed Taib.

MOHAMED Khaled berucap pada Majlis Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Seberguna Taman Mawar Pasir Gudang. FOTO BERNAMA
MOHAMED Khaled berucap pada Majlis Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Seberguna Taman Mawar Pasir Gudang. FOTO BERNAMA

Ketika ditanya adakah dia lebih selesa menjadi calon di Pasir Gudang berbanding khabar angin yang menyatakan beliau akan ke Parlimen Kota Tinggi, Khaled menegaskan, segala keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti ada strategi yang menyeluruh untuk masa akan datang.

"Dalam setiap pilihan raya, ia bukan semata-mata ada parti yang tawarkan, kita mesti ada strategi dan kita juga fikir masa depan dan sebagainya.

"Kita fikir soal keseluruhan, mungkin (kesannya) bukan untuk masa ini tetapi untuk masa akan datang, itu semua kita ambil kira," katanya.

Baru-baru ini, terdapat khabar angin bahawa bekas Ahli Parlimen Pasir Gudang itu dikatakan akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Tinggi.

Malahan terdapat beberapa kain rentang yang dinaikkan di sekitar Kota Tinggi yang memaparkan ayat menolak kehadiran Mohamed Khaled untuk bertandang di kerusi Parlimen berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 11:49 AM