DR Adham Baba dan Halimah hadir membantu calon BN Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkempen pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat Tenggara hari ini. FOTO Izz Laily Hussein.
DR Adham Baba dan Halimah hadir membantu calon BN Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkempen pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat Tenggara hari ini. FOTO Izz Laily Hussein.
Izz Laily Hussein


Kota Tinggi : Tiga kerusi parlimen di daerah ini diyakini akan tetap berada dalam genggaman kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, parlimen Kota Tinggi, Pengerang dan Tenggara adalah tiga kerusi yang disenaraikan untuk kekal menang sekali gus boleh mencapai kemenangan Barisan Nasional (BN) dan mendapat sekurang-kurangnya 16 kerusi yang disasarkan.

"Kita diberi sasaran oleh Umno Malaysia sebanyak 20 kerusi, tetapi selepas berbincang sebenarnya kita ada sasaran yang lebih realistik iaitu paling kurang 16 kerusi kita tuju dan 20 adalah sasaran terbaik.

"Dengan kerja kuat jentera dan melihat pengundi yang memberi kepercayaan kepada kita, kita yakin (menang).

"Seperti Pengerusi Perhubungan Umno Johor (Datuk Seri Hasni Mohammad) katakan bahawa Johor masih lagi menjadi tiang seri BN," katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat Tenggara di Dewan Sri Kembaran, Bandar Tenggara di sini, hari ini.

Turut hadir, penyandang Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan calon BN Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib.

Dr Adham dan Halimah hadir ke majlis itu sebagai tanda menyokong Manndzri sebagai calon bagi kerusi parlimen selain turun padang membantu calon itu berkempen.

Ditanya mengenai kehadiran mereka berdua pada majlis itu seolah memberi gambaran bahawa mereka tidak merajuk kerana tidak dicalonkan semula, Dr Adham dan Halimah berpendapat mereka adalah pemimpin berjiwa besar dan tulen berkhidmat untuk negara.

"Kami anggota jemaah menteri yang diberi peluang mentadbir negara. Jadi, bekerjasama dengan beliau (Halimah) adalah salah satu tanda usaha bahawa kami ini sebenarnya pemimpin yang 'genuine' berkhidmat untuk negara," katanya.

Perkara sama turut diakui Halimah sambil menambah mereka berdua mahu memenangkan calon.

"Kami turun hari ini untuk berikan sokongan, tiada masalah dan apa yang berlaku adalah keputusan parti, jadi kami akur kepada keputusan parti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 6:10 PM