Muhammad Helmi Abdullah. FOTO BERNAMA
Muhammad Helmi Abdullah. FOTO BERNAMA
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Fenomena cuaca signifikan seperti ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang boleh menjejaskan keselamatan operasi penerbangan, terutamanya bagi pesawat ringan termasuk helikopter yang melakukan penerbangan pada aras rendah.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, negara pada ketika ini sedang berada di dalam fasa peralihan monsun yang dijangka berlaku sehingga November 2022.

"Di dalam tempoh ini, secara amnya, corak tiupan angin adalah lemah dari pelbagai hala yang kondusif bagi pembentukan awan yang boleh menyebabkan kejadian ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang pada sebelah petang hingga ke awal malam.

"Keadaan ini cenderung terbentuk di tengah dan pedalaman serta negeri sebelah barat Semenanjung, tengah dan utara Sarawak, Labuan dan juga barat Sabah," katanya ketika diminta mengulas kemungkinan penggunaan helikopter meningkat pada musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ketika ini, risikonya sebab pada masa sama cuaca tidak menentu.

Beliau berkata, lazimnya, laporan berkaitan insiden berkaitan penerbangan akan dikendali oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), manakala siasatan teknikal mengenai pelesenan serta kesahihan operasi helikopter dilakukan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"METMalaysia akan menyediakan laporan berkaitan cuaca apabila dikehendaki oleh pihak BKSU dan CAAM.

"METMalaysia adalah agensi yang bertanggungjawab dalam menyediakan produk berkaitan pencerapan, ramalan dan amaran cuaca penerbangan secara rutin kepada agensi dan syarikat penerbangan," katanya.

Muhammad Helmi berkata, selain itu, METMalaysia juga sentiasa menerima permohonan dan membekalkan maklumat cuaca berkaitan kawasan dan laluan penerbangan yang spesifik.

Mengulas lanjut, katanya, semua maklumat cuaca penerbangan yang dibekalkan oleh METMalaysia adalah berdasarkan garis panduan dan keperluan yang ditetapkan oleh badan antarabangsa, International Civil Aviation Organisation (ICAO).

Kelmarin, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan menerima maklumat berhubung kemalangan udara membabitkan sebuah helikopter Airbus AS 355 F2 berhampiran Tanah Rata di Cameron Highlands, Pahang jam 1.03 tengah hari.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, semua enam mangsa insiden nahas helikopter di Brinchang dekat Tanah Rata, Kompartment 213, Hutan Simpan Bukit Kinta, Cameron Highlands, Pahang, itu terselamat dan sudah dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di Ipoh.

Identiti enam mangsa itu dikenal pasti sebagai Kapten Fedzrol Norazam, 43, juruterbang helikopter terbabit; Dr Munirah Abd Rahman, 35 (Pegawai Perubatan); Zainurol Fazlan Zainudin, 40 (Pembantu Kesihatan Awam); Muhamad Azlan Hanifah, 31 (Penolong Pegawai Perubatan); Norhasikin Abu Seman, 38 (Jururawat Kesihatan); dan Hashilawati Hussin, 43 (Jururawat Masyarakat).

Nahas helikopter itu berlaku hanya dalam tempoh 46 hari kejadian nahas helikopter di Bidor, Perak pada 11 September lalu.

Pada 5 Mei 2016, dua hari sebelum hari mengundi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11, sebuah helikopter Eurocopter AS350 terhempas di Sungai Batang Lupar semasa dalam penerbangan dari bandar Betong ke Kuching mengakibatkan enam maut termasuk Ahli Parlimen Sungai Besar, Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 8:34 AM