Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Pihak berkuasa disaran supaya 'mengekstrak' data secara kolektif mengenai jumlah kemalangan dan insiden membabitkan helikopter yang kian meningkat di negara ini bagi memastikan insiden itu dapat ditangani pada masa akan datang.

Ketua Penerbangan Mencari dan Menyelamat, Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Madya Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, data itu boleh diekstrak dengan menggunakan metodologi Hidden Markov Model , satu kaedah matematik yang dapat menemui polar atau corak dari data yang dikemukakan.

Beliau berkata, walaupun insiden helikopter Airbus AS 355 F2 terhempas di Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang, semalam, tidak membabitkan korban jiwa, namun pihak berkaitan perlu peka mengenai data statistik secara holistik dan mendalam supaya dapat menemui polar atau corak nahas helikopter yang berlaku di Malaysia.

Katanya, daripada itu boleh dapat menjana kebarangkalian berlakunya nahas seumpamanya dan langkah proaktif dapat dilaksanakan secara jitu dan spesifik untuk mengurangkan insiden penerbangan ini.

"Kita dapati walaupun banyak laporan teknikal kemalangan udara sudah diterbitkan dan cadangan dari pihak berkuasa dikemukakan, namun insiden udara masih lagi terjadi.

"Oleh demikian, kita patut ekstrak data teknikal dari laporan-laporan itu, dari tahun 1980-an hingga sekarang, untuk menemui secara menyeluruh akan polar atau corak insiden berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pakar penerbangan itu berkata, kaedah matematik adalah kaedah yang bernas sekali gus boleh merungkai informasi tidak jelas kelihatan.

Bagi nahas AS 355 F2, katanya, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar nahas dan beberapa parameter seperti keadaan cuaca, bentuk muka bumi, rekod penyelenggaraan pesawat, rekod kesihatan dan kemahiran juruterbang, dan keadaan teknikal pesawat akan dianalisa untuk mendapatkan gambaran secara holistik.

"Lazimnya parameter ini akan dimasukkan di dalam laporan siasatan dan gabungan laporan inilah, seperti yang disebutkan tadi, yang akan memberi data untuk dianalisakan.

"Satu faktor yang patut diberi perhatian ialah penerbangan di bentuk muka bumi yang berbukit bukau. Pada topologi itu selalunya terjadi keadaan yang mana satu 'void' akan terhasil dan ketumpatan udara berada pada tahap minimum sekali, ini menyukarkan helikopter untuk terapung atau terbang.

PASUKAN polis bersama pasukan siasatan kemalangan udara daripada Kementerian Pengangkutan membuat siasatan dilokasi helikopter jenis Airbus AS 355 F2 dengan nombor pendaftaran 9M-SSW yanng terhempas di Kompartment 213, Hutan Simpan Bukit Kinta dalam daerah Kinta, Perak yang hanya berjarak kira-kira 400 meter daripada sempadan Pahang akibat cuaca buruk. FOTO L Manimaran
PASUKAN polis bersama pasukan siasatan kemalangan udara daripada Kementerian Pengangkutan membuat siasatan dilokasi helikopter jenis Airbus AS 355 F2 dengan nombor pendaftaran 9M-SSW yanng terhempas di Kompartment 213, Hutan Simpan Bukit Kinta dalam daerah Kinta, Perak yang hanya berjarak kira-kira 400 meter daripada sempadan Pahang akibat cuaca buruk. FOTO L Manimaran

"Dan juga kabus tebal sering terjadi pada lereng bukit disebabkan oleh keadaan suhu yang rendah di dataran yang tinggi. Terdapat kursus penerbangan lereng bukit yang ditawarkan kepada juruterbang bagi memahirkan mereka untuk menerbangkan pesawat di muka bumi tersebut," katanya.

Beliau turut ditanya berkenaan penggunaan helikopter dijangka meningkat ketika bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ketika ini, apa keperluan untuk langkah keselamatan berjaga-jaga bagi mengelakkan nahas terutama cuaca atau iklim kini yang tidak menentu.

"Didapati penggunaan helikopter sering meningkat pada pilihan raya umum di Malaysia dan ia lazimnya di gunakan di kasawan pedalaman yang berbukit bukau.

"Oleh itu, sebagai langkah untuk meningkatkan lagi keselamatan, adalah wajar bagi juruterbang helikopter meningkatkan lagi kemahiran mereka menerbangkan pesawat di topologi sedemikian," katanya.

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan menerima maklumat berhubung kemalangan udara membabitkan sebuah helikopter berhampiran Tanah Rata di Cameron Highlands, Pahang 1.03 tengah hari.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri hari ini dilaporkan berkata, semua enam mangsa insiden nahas helikopter di Brinchang dekat Tanah Rata, Kompartment 213, Hutan Simpan Bukit Kinta dekat Brinchang, Cameron Highlands, Pahang, tengahari semalam itu terselamat dan sudah dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di Ipoh, malam tadi.

Identiti enam mangsa itu dikenal pasti sebagai Kapten Fedzrol Norazam, 43, juruterbang helikopter terbabit; Dr Munirah Abd Rahman, 35 (Pegawai Perubatan); Zainurol Fazlan Zainudin, 40 (Pembantu Kesihatan Awam); Muhamad Azlan Hanifah, 31 (Penolong Pegawai Perubatan); Norhasikin Abu Seman, 38 (Jururawat Kesihatan); dan Hashilawati Hussin, 43 (Jururawat Masyarakat).

Nahas helikopter itu berlaku hanya dalam tempoh 46 hari kejadian nahas helikopter di Bidor, Perak pada 11 September lalu.

Dalam kejadian di Bidor membabitkan helikopter Eurocopter EC120B, juruterbang berusia 58 tahun dikenali sebagai Tsz Kin Richard Chan ditemukan maut oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 4:33 PM