Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa negeri di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak sehingga 6 petang ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berkata, negeri yang dijangka mengalami cuaca itu ialah Kedah membabitkan kawasan di Baling, Kulim dan Bandar Baharu selain Perak di Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta serta Kampar.

Menurutnya, selain itu, Gua Musang di Kelantan dan Terengganu yang membabitkan kawasan di Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman juga bakal berdepan cuaca buruk itu.

"Di Pahang cuaca itu dijangka berlaku di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bera dan Rompin, manakala Negeri Sembilan pula di Jempol dan Tampin.

"Turut berdepan cuaca sama adalah Jasin di Melaka dan Johor di Tangkak, Segamat dan Muar," katanya dalam kenyataan di Facebook METMalaysia, hari ini.

METMalaysia berkata, bagi Sarawak, cuaca itu dijangka membabitkan kawasan di Kuching (Bau dan Kuching), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah (Matu, Dalat dan Mukah) dan Limbang (Limbang).

"Bagi Sabah ia akan membabitkan Pantai Barat (Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat (Kota Marudu dan Pitas)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 4:17 PM