Lori yang diubahsuai untuk mengisi minyak diesel bersubsidi sebelum diseleweng disita KPDNHEP dalam serbuan di stesen minyak di Jalan Puchong, Rabu lalu.
Lori yang diubahsuai untuk mengisi minyak diesel bersubsidi sebelum diseleweng disita KPDNHEP dalam serbuan di stesen minyak di Jalan Puchong, Rabu lalu.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sindiket penyelewengan diesel dikesan menggunakan taktik pembelian bahan bersubsidi itu secara berulang bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Lori sindiket itu juga sudah diubah suai dan akan mengisi diesel di stesen minyak yang dikenal pasti sebelum menghantar bahan bakar itu ke sebuah stor haram.

Kegiatan haram itu dilakukan bermula antara 8 pagi hingga 11 malam setiap hari dengan setiap trip pembelian adalah sebanyak 4,000 liter.

Bagaimanapun, taktik sindiket itu terbongkar selepas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan serbuan di stesen minyak di Batu 6, Jalan Puchong di sini, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur Nurul Syarina Md Anuar berkata, ketika serbuan dilakukan terdapat dua lori yang diubah suai di stesen minyak berkenaan sedang membuat pengisian diesel bersubsidi dalam kuantiti yang agak besar.

"Pasukan serbuan membuat pemeriksaan terhadap kedua-dua lori dan menyita minyak diesel sebanyak 4,000 liter iaitu dianggarkan bernilai RM8,600.

"Kedua-dua lori turut disita dan dua pemandu lori ditahan untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati pembayaran akan dilakukan secara tunai oleh ketua sindiket pada sebelah malam sebelum stesen minyak ini ditutup bagi mengelak daripada dikesan.

"Stesen minyak berkenaan juga akan disiasat bagi memastikan sejauh mana pembabitannya dengan pihak sindiket.

"Jumlah keseluruhan sitaan bagi operasi ini dianggarkan bernilai RM68,800.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan iaitu menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa memiliki lesen yang sah, manakala stesen minyak disyaki melanggar arahan pengawal bekalan iaitu membenarkan pembelian secara berulang bagi sebuah kenderaan pada hari yang sama," katanya.

Katanya, siasatan juga akan dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 12:31 PM