serbuan KPDNHEP di sebuah stor haram di Bandar Seri Kesuma, Semenyih, Selangor kelmarin. FOTO IHSAN KPDNHEP
serbuan KPDNHEP di sebuah stor haram di Bandar Seri Kesuma, Semenyih, Selangor kelmarin. FOTO IHSAN KPDNHEP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Komplot jahat antara sindiket penyelewengan diesel subsidi dan pengusaha stesen minyak. Itu antara fokus siasatan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi membentuk ketirisan bahan mental bersubsidi itu.

Risikan mendapati, sindiket masih aktif menggunakan lori tangki yang diubah suai untuk membeli sebanyak mungkin diesel subsidi dari beberapa stesen minyak sebelum dijual secara haram kepada pihak industri.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil berkata, kegiatan itu berjaya ditumpaskan susulan serbuan pihaknya di sebuah stor haram di Bandar Seri Kesuma, Semenyih, Selangor kelmarin.

Menurutnya, serbuan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya hasil risikan dilakukan Seksyen Perisikan KPDNHEP sejak beberapa minggu lalu.

"Hasil pemeriksaan di stor haram berkenaan, kami menemui sembilan unit tangki mengandungi diesel yang dianggarkan berjumlah 9,000 liter. Semua diesel itu disimpan tanpa lesen atau permit sah KPDNHEP.

"Berdasarkan pemerhatian semasa risikan dilakukan, kami mendapati lori yang ditahan itu digunakan untuk membeli diesel dari beberapa stesen minyak di kawasan Kajang dan Semenyih.

"Diesel itu kemudian dibawa ke stor tanpa lesen berkenaan untuk dipindahkan.

"Susulan itu, KPDNHEP menyita semua diesel, lori tangki, invois, resit belian diesel berserta dokumen perniagaan lain yang di lokasi sama," katanya.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM165,000.

"Dua lelaki warga tempatan berumur 19 dan 32 tahun ditahan pihak KPDNHEP. Mereka mengaku berperanan sebagai pemandu lori dan pekerja di stor berkenaan.

"Kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu serta syarikat lain yang mungkin terbabit dalam kes ini.

"KPDNHEP memberi amaran keras terhadap mana-mana individu, syarikat atau pengusaha stesen minyak khususnya di kawasan Lembah Klang supaya mematuhi perundangan.

"Mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961. Jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000 bagi orang perseorangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Syarikat yang terbabit pula boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000," katanya.

Selain itu, siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

"Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 4:51 PM