LORI yang digunakan menyeleweng diesel bersubsidi. Foto Ihsan KPDNHEP Kuala Lumpur
LORI yang digunakan menyeleweng diesel bersubsidi. Foto Ihsan KPDNHEP Kuala Lumpur
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sindiket penyelewengan diesel dikesan menggunakan taktik membuat pembelian bahan bersubsidi itu ketika waktu puncak seawal 8 pagi sehingga 8 malam bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Lori sindiket disyaki akan pergi ke stesen minyak sekitar Kuala Lumpur dan mengutip diesel dengan kuantiti dianggarkan melebihi 50,000 liter membabitkan jumlah pembayaran RM107,500 setiap hari.

Taktik sindiket itu terbongkar selepas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan serbuan di stor penyimpanan haram di Taman Batu Permai, Off Jalan Ipoh di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur Nurul Syarina Md Anuar berkata, serbuan dengan kerjasama polis dilakukan susulan maklumat dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.

Katanya, melalui risikan beberapa lori yang diubah suai membuat pembelian di stesen minyak sekitar Setapak, Kepong, Sentul, Wangsa Maju dan Jalan Kuching sebelum membuat penghantaran ke stor haram yang berkenaan.

"Lori dikesan mengutip diesel bersubsidi pada setiap hari dengan kuantiti dianggarkan melebihi 50,000 liter dengan jumlah pembayaran RM107,500 bagi keseluruhan transaksi. Setiap transaksi pembelian dilakukan secara tunai dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Kesemua pemandu lori ini amat berhati-hati serta akan melalui jalan yang agak sunyi bagi mengelak diekori oleh Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang (LEA's) dalam penghantaran bekalan diesel ke stor berkenaan.

"Bekalan yang dihantar ke stor kemudian dipindahkan ke lori tangki sebelum dijual kepada pemborong berlesen yang beroperasi di sekitar Lembah Klang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Syarina berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan 14 individu termasuk pemilik stor kerana disyaki melakukan urus niaga barang kawalan tanpa lesen yang sah.

Selain itu, katanya, sebanyak 15,700 liter diesel dianggarkan bernilai RM33,755 disita.

"Turut disita dua lori tangki, dua lori bonded, empat unit pam, tiga unit hos minyak dan resit pembelian. Jumlah keseluruhan sitaan bernilai RM224,000.

"Perbezaan harga minyak diesel bersubsidi di stesen minyak dengan diesel industri melebihi RM2 perliter dan ini menjadi faktor utama pihak sindiket mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan peribadi," katanya.

Kata beliau, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 9:50 PM