Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: Ubah suai kenderaan dengan tangki berkapasiti tinggi untuk mengisi diesel bersubsidi sebelum dijual kepada pemain industri.

Itu kegiatan dilakukan sebuah sindiket yang dikesan menjual diesel bersubsidi kepada industri di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar dalam serbuan di dua gudang di Jalan Semenyih-Kajang, dekat sini, pada 1 September lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan dilakukan Unit Risikan Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) hasil risikan selepas menerima maklumat.

"Dalam serbuan itu, kami menahan 11 suspek terdiri daripada tujuh lelaki tempatan dan empat lelaki warga asing berusia 19 hingga 59 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori dan pekerja am di gudang terbabit.

"Kami turut merampas 94,450 liter diesel bersubsidi bernilai RM361,000 dan merampas tujuh lori 'bonded' yang diubah suai dan mampu mengisi 3,000 liter minyak diesel.

"Selain itu, kami turut merampas sebuah pacuan empat roda yang mempunyai tangki khas dengan muatan 400 liter minyak, tiga tangki statik mengandungi 39,000 liter diesel dan 46 tong plastik mengandungi 27,050 diesel bersubsidi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lokasi serbuan yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dan Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, hari ini.

Arjunaidi berkata, nilai keseluruhan rampasan itu dianggarkan berjumlah RM1.5 juta dengan nilai kerugian subsidi kerajaan sebanyak RM203,067.

"Modus operandi sindiket ini adalah membeli minyak diesel bersubsidi menggunakan lori atau pacuan empat roda yang diubahsuai di stesen minyak sekitar daerah ini sebelum dipindahkan ke tangki statik di dua gudang terbabit.

"Mereka tiada masa tertentu untuk mengisi minyak kerana setiap kenderaan hanya dibenarkan membeli 250 liter sahaja. Jadi, mereka akan pergi ke beberapa stesen minyak.

"Semua minyak akan dipindahkan ke dalam tangki simpanan di gudang sebelum dijual semula kepada pengusaha industri dengan harga lebih murah iaitu sekitar RM4 ke RM5 berbanding harga industri tanpa subsidi ditetapkan pada RM5.70," katanya.

Katanya, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Siasatan lanjut mengenai sindiket sedang dijalankan untuk mengesan dalang dan pembeli diesel bersubsidi berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 2:25 PM