FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris 3.0 dalam dua serbuan berasingan di Changlun dan Bukit Kayu Hitam, Kedah, minggu lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Azman Adam berkata, serbuan dilakukan serentak oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya bermula 11.40 malam itu adalah hasil risikan yang dilakukan KPDN beberapa hari sebelum operasi dilaksanakan.

Menurutnya, hasil maklumat, modus operandi sindiket ini adalah mengisi diesel daripada beberapa stesen minyak di sekitar Changlun dan Bukit Kayu Hitam menggunakan lori diubah suai sebelum dibawa ke stor haram dan dijual di pasaran gelap.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis di kedua-dua lokasi itu, pasukan serbuan menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 13,300 liter serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

"Sebuah lori, beberapa tangki jenis intermediate bulk containers (IBC) yang berisi minyak diesel, pam bermotor, paip penyambung, minyak diesel, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan disita bagi tujuan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM75,745.00.

"Sembilan lelaki yang mengaku sebagai pekerja di kedua-dua premis terbabit ditahan bagi membantu siasatan. Siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

"Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613]," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 12:59 PM