Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Lebih 23,000 warga emas di negeri ini bakal menerima bantuan Pencen Rakyat Terengganu yang akan diagihkan mulai bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat berkata, bantuan pencen berjumlah RM600 seorang itu diberikan kepada individu berusia 60 tahun ke atas.

Menurutnya, mereka yang dipilih menerima bantuan pencen itu juga dikenal pasti tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan penerima bantuan kerajaan.

"Penerima Pencen Rakyat Terengganu mestilah individu yang berusia 60 tahun dan ke atas selain tidak memiliki sebarang punca pendapatan sendiri.

"Warga emas yang dipilih untuk bantuan pencen ini juga bukan penerima bantuan bulanan sedia ada seperti daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu di sini, hari ini.

Hanafiah berkata, kerajaan negeri menyediakan sehingga RM13 juta setiap tahun bagi tujuan itu dan bajet bakal dinaikkan tahun depan memandangkan penerima akan bertambah.

"Saya harap Bajet 2023 untuk negeri lebih tertumpu kepada aspek kebajikan bukan sahaja kepada warga emas tetapi golongan ibu tunggal atau anak muda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 5:42 PM