ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu memantau paras air sungai ditempat risiko banjir di Kampung Pasir Raja. FOTO Ghazali Kori
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu memantau paras air sungai ditempat risiko banjir di Kampung Pasir Raja. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Semua agensi di bawah Jawatankuasa Bencana Negeri sudah melakukan persiapan menghadapi banjir seawal September lalu bagi memastikan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa yang terjejas berjalan lancar.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu Hanafiah Mat berkata, kesiapsiagaan menghadapi bencana yang saban tahun dihadapi penduduk di Terengganu merangkumi aspek bekalan makanan, petugas dan pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata, taburan hujan lebat luar biasa berlaku apabila Terengganu mula memasuki peralihan monsun timur laut (MTL) setiap tahun sehingga menyebabkan kawasan rendah terutama yang berada di tepi sungai berisiko dilanda banjir.

"Kami di peringkat jawatankuasa bencana negeri dan daerah sudah mengadakan mesyuarat untuk menghadapi banjir jadi kelengkapan sama ada di darat, sungai dan PPS seumpamanya sudah berada dalam keadaan kesiapsiagaan.

"Semua agensi berkaitan juga melakukan persiapan bagi menghadapi banjir setiap kali musim tengkujuh dan apabila bencana itu berlaku, kita akan gerakkan semua agensi yang ada.

"Apa yang berlaku di Selangor, Insya-Allah tidak akan berlaku di sini kerana kita memang melakukan persediaan awal menghadapi bencana ini seawal September memandangkan ia berlaku setiap tahun.

"Jadi, kita sudah kenal pasti kekuatan agensi yang ada seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pejabat-pejabat daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu berkata, pihaknya turut dibantu sukarelawan Khidmat Malaysia Terengganu yang akan bersama-sama agensi berkaitan.

"Selain membantu daripada segi kelengkapan seperti kenderaan pelbagai guna dan bot, mereka ini akan membantu daripada segi tenaga yang mana mereka ini turut digerakkan untuk membersihkan rumah dan memasak untuk mangsa banjir," katanya.

Hanafiah berkata, sebanyak RM2 juta peruntukan diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai persediaan menghadapi banjir kali ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.5 juta disalurkan kerajaan Persekutuan manakala RM500,000 daripada kerajaan negeri bagi perolehan bekalan makanan dan barangan keperluan lain.

"Semua barang keperluan itu ditempatkan di depoh penyimpanan barangan utama di Marang, 17 mini depoh dan 149 pangkalan hadapan yang ada di seluruh Terengganu.

"JKM turut menyediakan sebanyak 580 PPS di seluruh Terengganu dan pusat itu dijangka dapat menampung 147,600 mangsa banjir pada satu-satu masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 6:20 PM