HANAFIAH (kanan) semasa melawat empat beradik lumpuh seluruh badan akibat penyakit saraf di Kampung Teluk Kalong, Chukai, hari ini. FOTO Bernama
HANAFIAH (kanan) semasa melawat empat beradik lumpuh seluruh badan akibat penyakit saraf di Kampung Teluk Kalong, Chukai, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Chukai: Keperitan hidup wanita warga emas, Rosanani Salleh bersama empat anak kurang upaya (OKU) yang lumpuh, mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, keempat-empat beradik yang lumpuh seluruh badan akibat penyakit saraf itu masing-masing akan menerima Bantuan Am Negeri sebanyak RM450 sebulan mulai Januari depan.

"Sebelum ini tiga daripada mereka (masing-masing) menerima bantuan RM300 sebulan daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) manakala seorang lagi menerima pencen ilat Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial).

"Hari ini, setelah berbincang dengan pihak JKM, saya syorkan dan terus meluluskan Bantuan Am Negeri sebanyak RM450 sebulan bagi keempat-empat anak makcik Rosanani.

"Jadi jumlah keseluruhan adalah RM1,800 dan kami harapkan jumlah itu dapat menampung perbelanjaan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman Rosanani di Kampung Teluk Kalong, di sini, hari ini.

Pada Selasa lalu, Bernama melaporkan Rosanani, 62, yang juga ibu tunggal dan bekerja sebagai penjual lemang terpaksa menguruskan anak keduanya, Mohd Amerizam Razali, 42; anak kelima, Mohd Marsudi, 36; dan anak keenam, Mohd Aismuddin, 33; yang memerlukan penjagaan rapi.

Anak sulungnya, Rozanariah, 43, yang turut menghidap penyakit sama tinggal berasingan memandangkan dia sudah berkahwin dan dijaga suami serta tujuh anaknya berumur antara 20 hingga lima tahun.

Dalam pada itu, Hanafiah berkata, kerajaan negeri akan membekalkan lampin pakai buang di bawah peruntukan Tabung Darul Iman untuk kegunaan adik-beradik berkenaan selama mana mereka memerlukannya.

Hanafiah turut menyeru ibu bapa di negeri ini yang mempunyai anak OKU supaya tidak berdiam diri dan melaporkan kepada pihak berkaitan termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung bagi membolehkan mereka menerima bantuan sewajarnya sama ada daripada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), M Rozi Bidin berkata, pihaknya akan mengesyorkan adik-beradik itu menerima bantuan sara hidup secara 'one-off' antara RM1,000 hingga RM3,000 setahun.

"Ibu mereka (Rosanani) pula kami akan naikkan bantuan bulanan Maidam yang diterimanya sejak 2016 daripada RM400 kepada RM500 selepas ini.

"Hari ini, Maidam turut menyumbangkan sebuah kerusi roda fleksibel untuk kegunaan Mohd Marsudi," katanya ketika dihubungi.

Berita berkaitan

'Tiba-tiba empat anak lumpuh...'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 3:15 PM