HANAFIAH Mat. FOTO arkib NSTP
HANAFIAH Mat. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri akan menggunakan stesen hidrologi bagi membuat pengesanan awal bencana banjir di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, penggunaan bacaan kenaikan paras air daripada stesen hidrologi antara kaedah kerajaan mengesan kemungkinan berlakunya bencana itu dalam tempoh terdekat.

Katanya, sebanyak 59 stesen hidrologi dengan tambahan 34 stesen daripada Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Fasa Satu sudah beroperasi sejak Ogos lalu.

"Sebanyak 66 lagi stesen baharu daripada PRAB Fasa Dua yang sedang dalam pembinaan dijangka siap November 2022," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hanafiah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri berkata demikian ketika mengulas persiapan awal dilakukan kerajaan untuk pengesanan paras air bagi menghadapi kemungkinan banjir.

Beliau berkata, bacaan paras air sungai dan laut daripada stesen hidrologi itu akan digunakan sebagai persiapan awal memindahkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan mudah dinaiki air.

"Kerajaan juga menggunakan bacaan paras air daripada stesen hidrologi itu bagi melakukan pengesanan kenaikan paras air laut sehingga boleh menyebabkan berlakunya air pasang besar," katanya.

Hanafiah yang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai berkata, sebanyak 580 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh menampung kapasiti seramai 147,600 mangsa sudah disediakan.

"Kapasiti mangsa banjir di PPS itu akan dikurangkan sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama membabitkan penjarakan sosial bagi mengelakkan berlakunya penularan pandemik Covid-19.

"Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menyediakan Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB), 17 mini depoh dan 149 pengkalan hadapan," katanya.

Hanafiah berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.6 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melakukan kerja menyelenggara sungai dan alur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 10:39 AM