Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Seramai 19,230 warga emas di Terengganu akan menerima bantuan Pencen Rakyat bermula Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat berkata, program julung kali dilaksanakan bermula tahun ini memfokuskan kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Beliau berkata, penerima akan menerima bantuan RM50 sebulan dan kerajaan negeri akan melakukan pembayaran RM300 bagi setiap penerima.

"Bayaran RM300 itu merangkumi pembayaran untuk Jun hingga Disember yang akan mula disalurkan secara berperingkat kepada penerima bermula Ahad ini.

"Pembayaran penuh iaitu RM600 setahun kepada penerima yang layak akan mula dilakukan pada tahun hadapan.

Hanafiah Mat
Hanafiah Mat

"Ia selaras dengan peruntukan RM13 juta yang diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2022 semalam," katanya ditemui selepas Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Untuk rekod, program Pencen Rakyat adalah satu daripada 20 manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 2018.

Bantuan itu dikhususkan kepada rakyat Terengganu berusia 60 tahun ke atas yang sudah bersara dan tidak menerima mana-mana bantuan daripada agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 4:20 PM