Keadaan laluan Plentong ke Permas Jaya yang kerap berlubang dipercayai akibat kebocoran paip dan ditutup bagi kerja pembaikpulihan menjejaskan keselesaan pengguna jalan raya. Gambar Mary Victoria Dass
Keadaan laluan Plentong ke Permas Jaya yang kerap berlubang dipercayai akibat kebocoran paip dan ditutup bagi kerja pembaikpulihan menjejaskan keselesaan pengguna jalan raya. Gambar Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Penduduk mendakwa jalan berlubang berhampiran simpang masuk ke Bandar Permas Jaya dari Plentong di sini berpunca masalah paip bawah tanah bocor sekali gus mencetuskan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

Malah penduduk juga mendakwa masalah berkenaan berlaku sejak kira-kira sebulan dan sehingga kini hampir lima kali jalan itu dibaiki yang turut membabitkan penutupan sebahagian lorong.

Penduduk Rumah Awam Plentong, Jamil Hussain, 51, berkata difahamkan terdapat kebocoran paip bawah tanah di laluan itu hingga mengakibatkan jalan berlubang walaupun beberapa kali dibaiki oleh pihak berkaitan.

Katanya, setiap kali kerja baik pulih dilakukan akan menimbulkan kesesakan kira-kira setengah jam hingga 40 minit sepanjang lebih satu kilometer terutama di waktu puncak hampir setiap hari hingga ia menimbulkan pelbagai kesulitan.

"Ketika kerja baik pulih dijalankan laluan dua lorong berkenaan akan menjadi satu lorong dan menyebabkan kesesakan.

"Kami bukan menghalang kerja baik pulih namun pihak bertanggungjawab perlu mengenal pasti punca masalah jalan berlubang kerana selang beberapa hari diturap, ia kembali berlubang," katanya.

Sementara itu, penduduk Flat Plentong Utama, Rahman Abdullah, 60, berkata masalah berkenaan berlaku sejak kira-kira sebulan dan sehingga kini hampir lima kali kerja membaiki dan menurap permukaan jalan dibuat pihak berwajib.

"Kebiasaannya laluan berkenaan sesak mulai 7 pagi hingga 9 pagi selain 7 petang hingga 9 malam.

"Selagi masalah paip bawah tanah bocor tidak diselesaikan, masalah jalan berlubang juga tak akan selesai dan menyusahkan pengguna," katanya.

Menurutnya, laluan itu digunakan penduduk antaranya dari Taman Ria Plentong, Taman Johor Jaya, Kampung Seri Saujana, kawasan perindustrian Plentong (Jalan Masai Lama) dan Kampung Plentong Baru.

Sehubungan itu katanya, pihak berwajib diharap dapat mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan dua isu berkenaan untuk kebaikan semua.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Baharudin Mohamed Taib berkata pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif bagi mengelak menggunakan laluan berkenaan ketika waktu puncak.

Beliau berkata, pihaknya berharap penduduk memberi kerjasama dan ruang sehingga RanhillSAJ dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menyelesaikan isu itu.

"Saya difahamkan paip bocor itu di kedudukan tujuh meter di bawah permukaan tanah dan berikutan keadaan trafik yang tinggi di laluan itu, SAJRanhill perlu merangka pelan pembaikan secara kekal.

"Ia akan membabitkan penutupan sebahagian jalan dalam tempoh terdekat dan diharap penduduk dapat memahami situasi ini," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 2:28 PM