Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Pengguna di sepanjang Jalan Tun Razak berhampiran persimpangan Bukit Bintang menggesa kerajaan supaya memperluaskan laluan itu berikutan masalah kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak.

Tinjauan Metro Ahad di jalan berkenaan mendapati laluan dua lorong itu tidak mampu menampung kebanjiran kenderaan pengguna ibu kota terutama pada hari bekerja.

Seorang pengguna, Ahmad Kamil Ismail, 35, berkata, laluan itu sememangnya sinonim dengan kesesakan pada waktu pagi dan selepas tempoh bekerja sekitar jam 5 petang.

“Saya menggunakan laluan ini setiap hari untuk pergi ke pejabat di Jalan Yew. Memang tidak dapat dinafikan pengguna laluan ini sering menghadapi kesesakan.

“Pengguna tiada pilihan lain atau laluan alternatif selain menggunakannya dan berdepan dengan kesesakan lalu lintas,” katanya ketika ditemui di sekitar jalan berkenaan.

Ahmad Kamil yang bekerja di sektor swasta berkata, dia mengharapkan kerajaan dapat memikirkan inisiatif seperti pelebaran laluan berkenaan atau menambah lorong sedia ada.

Menurutnya, penambahan laluan daripada dua lorong kepada tiga atau empat lorong dapat menyuraikan trafik, sekali gus menjadikan keadaan lalu lintas bergerak lancar.

“Kita lihat pembangunan pesat berlaku di kiri serta kanan laluan ini, manakala Jalan Tun Razak ini masih kekal sama (dua lorong), sekali gus tidak mampu untuk menampung pertambahan kenderaan setiap hari.

“Jika pelebaran laluan dilaksanakan, masalah ini dapat dikurangkan. Kebanyakan warga kota menggunakan laluan itu untuk pergi dan balik daripada tempat kerja,” katanya.

Pendapat sama turut dikongsi seorang pemandu teksi mahu dikenali sebagai Hassan, 46, yang tidak menafikan bahawa kesesakan laluan itu sangat ‘kritikal’ selepas waktu pejabat.

“Kebiasaannya, saya tidak akan mengambil penumpang yang ingin pergi ke lokasi ini jika jam menunjukkan jam 5 petang kerana kesesakan itu akan melambatkan perjalanan sekali gus membuatkan penumpang kurang selesa.

“Laluan ini (Jalan Tun Razak-Persimpangan Bukit Bintang) memang saya akan elakkan sebelah petang dan hanya akan memasuki selepas jam 8 malam iaitu apabila trafik beransur pulih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 5:24 AM