KAWASAN berkepadatan tinggi sememangnya memerlukan sistem penyuraian trafik yang berkesan, tidak hanya akses keluar masuk, bahkan lampu isyarat untuk mengawal lalu lintas. FOTO Sudirman Mohd Tahir
KAWASAN berkepadatan tinggi sememangnya memerlukan sistem penyuraian trafik yang berkesan, tidak hanya akses keluar masuk, bahkan lampu isyarat untuk mengawal lalu lintas. FOTO Sudirman Mohd Tahir
Sudirman Mohd Tahir


Bangi: Kawasan berkepadatan tinggi sememangnya memerlukan sistem penyuraian trafik yang berkesan, tidak hanya akses keluar masuk, bahkan lampu isyarat untuk mengawal lalu lintas.

Malangnya, bagi penduduk kawasan Bandar Seri Putra, di sini infrastruktur yang disediakan di kawasan mereka didakwa tidak berfungsi dengan cekap terutama pada waktu puncak.

Penduduk mendakwa lampu isyarat di persimpangan empat selepas Plaza Tol Putra Mahkota kerap bermasalah dan 'terlalu cepat' merah.

Selain mereka, lampu isyarat di jalan utama itu turut dilalui penduduk yang tinggal di sekitar Bukit Mahkota, Bandar Puteri dan Bangi Avenue.

Penduduk, Mohd Asyraf Yusof, 36, berkata, kegagalan lampu isyarat berfungsi dengan baik menyebabkan kesesakan teruk di persimpangan itu terutama pada waktu puncak.

"Masalah ini memang kerap berlaku. Apatah lagi kalau waktu hujan, ia lebih memburukkan keadaan lalu lintas.

"Ini kerana lampu isyarat menghubungkan beberapa kawasan kejiranan, ditambah pula ia berada di laluan utama keluar dan masuk tol.

"Pada waktu pagi, orang keluar bekerja dan hantar anak ke sekolah, juga waktu pulang kerja, memang padat dengan kenderaan. Jika lampu isyarat tak berfungsi, boleh bayangkan betapa sesaknya di situ," katanya ketika ditemui.

Peniaga itu juga berkata, kadar menunggu lama di persimpangan lampu isyarat disifatkan membuang masa, terutama buat mereka yang terikat dengan aktiviti harian dan perlu cepat.

Seorang lagi penduduk yang bekerja di kawasan itu, Sulkifli Mohd Tahir, 32, berkata, pihak berwajib sepatutnya menambah baik infrastruktur awam.

"Saya kira masalah sebegini boleh dielakkan jika pihak berkenaan mengambil tindakan segera apabila laporan dibuat penduduk.

"Jika tiada tindakan, masalah berterusan dan memberi kesan kepada ramai pihak. Kawasan ini bukan hanya perumahan, tetapi ada pusat perniagaan, universiti, klinik kesihatan, sekolah dan banyak lagi.

"Semua orang bekerja, nak masuk pejabat tepat pada waktu dan anak sekolah pula tak boleh lambat. Kalau setiap hari bermasalah, susahlah," katanya.

Bagi Rohmanah Mat Hasan, 33, pihak berkuasa perlu menyediakan alternatif lain untuk menyelesaikan masalah kesesakan di persimpangan lampu isuarat itu.

Katanya, pembangunan di sesuatu kawasan perlu diiringi dengan kemudahan infrastruktur yang ditambah baik dari semasa ke semasa.

"Sepatutnya, apabila kawasan ini sudah membangun, perlu ada juga alternatif lain bagi mengelak masalah kesesakan. Kita tahu, pada waktu puncak kenderaan yang nak keluar masuk tol memang tak boleh jangka. Apatah lagi waktu hujan, apa saja boleh terjadi.

"Mungkin satu daripada penyelesaian adalah meletakkan anggota polis trafik bagi mengawal lalu lintas. Sedikit sebanyak boleh melancarkan aliran dan tidaklah pengguna jalan menunggu terlalu lama," katanya yang berharap ada langkah penyelesaian yang berkesan terhadap masalah itu.


Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 7:01 AM