Keadaan jalan di Kilometer 107, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Labohan, Kerteh yang mendap dan berlubang. Foto Rosli Ilham
Keadaan jalan di Kilometer 107, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Labohan, Kerteh yang mendap dan berlubang. Foto Rosli Ilham
Rosli Ilham

Chukai: Penduduk Kampung Labohan, Kerteh mahu Jabatan Kerja Raya (JKR) menyelesaikan segera masalah jalan mendap dan berlubang di Kilometer 107, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini.

Keadaan itu didakwa sering berlaku setiap kali hujan lebat dan ketika musim tengkujuh kali ini sudah tiga kali berlaku mendapan di kawasan terbabit.

Penduduk kampung, Julia Suzana Azman, 33, berkata, paling ketara ketika hujan lebat pada kelmarin menyebabkan jalan di situ mendap sehingga menjadi lubang besar sedalam kira-kira tiga meter.

Menurutnya, jalan itu segera ditampal oleh pihak berkuasa selepas berlaku mendapan namun ia masuh terus berlaku memandangkan laluan utama itu turut dilalui kenderaan besar seperti treler.

"Saya percaya mendapan itu berlaku mungkin kerana pembentung di bawah jalan itu pecah sehingga menyebabkan jalan di situ runtuh dan berlubang besar.

"Keadaan itu menyebabkan satu lorong terpaksa ditutup sepenuhnya kepada lalu lintas dan pengguna yang menghala ke Kuala Terengganu terpaksa dilencongkan ke lorong bersebelahan, "katanya.

Menurutnya, lencongan itu menyebabkan berlaku kesesakan yang teruk di laluan terbabit.

"Penduduk sangat bimbang ketika waktu malam kerana di kawasan itu sangat gelap dan kita bimbang berlaku kemalangan kerana pengguna jalan raya dari kedua-dua arah terpaksa berkongsi lorong yang sama," katanya.

Sementara itu, sumber JKR Daerah Kemaman ketika dihubungi memberitahu mendapan itu berlaku akibat paip saliran utama di bawah tanah pecah kerana hujan lebat.

Menurutnya, kerja membaiki saluran air yang pecah serta lain-lain yang berkaitan akan dilaksanakan dengan kadar yang segera.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya menggunakan jalan alternatif lain dan juga Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) untuk ke arah Kuala Terengganu, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 10:57 AM