ANGGOTA APMM memeriksa bubu naga yang dirampas di perairan Batu Pahat, semalam. FOTO ihsan APMM
ANGGOTA APMM memeriksa bubu naga yang dirampas di perairan Batu Pahat, semalam. FOTO ihsan APMM
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Sebanyak 47 bubu naga dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat di perairan Batu Pahat dekat sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohamad Othman berkata, rampasan dilakukan ketika bot ronda Zon Maritim Batu Pahat melaksanakan rondaan Ops Jaksa di sepanjang perairan Muar hingga Pontian kira-kira jam 3 petang.

"Hasil maklumat orang awam, sebanyak 47 bubu naga dikesan dipasang secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab di lokasi kira-kira 0.2 batu nautika barat laut muara Sungai Ayam.

"Semua set bubu naga dirampas dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Batu Pahat untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Zon Maritim Baru Pahat merekodkan 97 kes membabitkan bubu naga dan sebanyak 1,179 set dirampas dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM176,850 sepanjang 2020.

"Situasi berkenaan menggambarkan masih terdapat kelompok nelayan yang mengambil jalan mudah bagi meraih keuntungan tanpa memikirkan akibat kepada kelangsungan ekosistem perikanan negara serta mata pencarian nelayan tradisional.

"Pihak APMM akan terus memantau aktiviti haram terbabit dari semasa ke semasa dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas seperti termaktub dalam Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985," katanya.

Katanya, pihaknya juga turut meminta kerjasama daripada orang ramai supaya melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Johor.

"Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 12:49 PM